Bank Islam terbitkan tranche ketujuh Sukuk Murabahah bernilai RM250 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Islam terbitkan tranche ketujuh Sukuk Murabahah bernilai RM250 juta

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Mac - Bank Islam Malaysia Berhad hari ini berjaya menerbitkan tranche ketujuh Sukuk Murabahah Subordinat (Sukuk Murabahah) bernilai RM250 juta di bawah Program Sukuk Murabahah RM10 bilion bank.

 

Sukuk Murabahah tersebut layak sebagai modal kawal selia Aras 2 Bank Islam, mematuhi Rangka Kerja Kecukupan Modal (Komponen Modal) bagi Institusi Perbankan Islam oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

 

"Ia akan meningkatkan kecukupan modal Bank ini agar selaras dengan keperluan Basel III," kata Bank Islam dalam kenyataan hari ini.

 

Sukuk Murabahah tersebut, yang boleh ditebus pada nilai nominal penuh setelah tempoh matang, didatangkan dengan opsyen beli pada ulang tahun kelimanya dan menerima penarafan A1/Stabil oleh RAM Rating Services Berhad.

 

Bank Islam adalah Penasihat Utama, Pengatur Utama, Ketua Pengurus dan Penasihat Syariah bagi Program Sukuk Murabahah tersebut.

 

Bank Islam adalah institusi perbankan Islam pertama di Malaysia yang disenaraikan di Papan Utama, Bursa Malaysia Berhad.

 

Ditubuhkan pada bulan Julai 1983, Bank Islam mempunyai 135 cawangan dan lebih 900 terminal layan diri di seluruh negara. - DagangNews.com