Bank of East Asia dari Hong Kong kurangkan pegangan dalam Affin Bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank of East Asia dari Hong Kong kurangkan pegangan dalam Affin Bank

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 Julai – Tindakan Bank of East Asia Ltd (BEA) dari Hong Kong mengurangkan sedikit pegangan dalam Affin Bank Berhad ketika harga saham bank itu menghampiri paras terendah tahun ini mencetuskan perhatian pelabur, meskipun langkah tersebut dipercayai lebih kepada pengambilan keuntungan selepas menerima saham menerusi Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP).

 

BEA, pemegang saham kedua terbesar Affin Bank, menjual kira-kira 2.48 juta saham atau 0.12% pegangan melalui lima transaksi pasaran terbuka antara 15 hingga 23 Jun 2026, sejurus selepas menerima sekitar 24.63 juta saham baharu menerusi DRP yang disiapkan pada 12 Jun 2026 dengan  pada harga terbitan RM2.10 sesaham.

 

Susulan urus niaga itu, pegangan BEA susut sedikit kepada 23.93% daripada 24.02%, namun kekal hampir sama seperti sebelum pelaksanaan DRP berdasarkan modal saham baharu Affin Bank.

 

Penganalisis perbankan berpandangan penjualan tersebut berkemungkinan sekadar strategi merealisasikan sebahagian keuntungan selepas menerima saham DRP, memandangkan BEA pernah mengambil langkah sama pada 2024 dalam keadaan yang hampir serupa.

 

Ketika itu, BEA turut menjual sekitar 1.94 juta saham selepas menerima saham DRP, namun harga saham Affin Bank berada dalam aliran menaik susulan jangkaan kerajaan Sarawak akan muncul sebagai pemegang saham terbesar bank berkenaan.

 

Pada Mac 2024, laporan media turut menyatakan BEA dikatakan sedang meninjau peluang menjual keseluruhan pegangan 23.93% dalam Affin Bank bagi membuka nilai modalnya, namun selepas Sarawak mengambil kira-kira 30% ekuiti pada September 2024, bank dari Hong Kong itu terus mengekalkan kepentingannya.

 

Affin Bank

 

Setakat penutupan dagangan Jumaat lalu, saham Affin Bank ditutup pada RM2.25, menyusut kira-kira 0.9% sejak awal tahun, menjadikan nilai pasaran bank itu sekitar RM5.91 bilion, manakala pegangan BEA dianggarkan bernilai RM1.41 bilion.

 

Dari sudut prestasi kewangan, Affin Bank merekodkan untung bersih RM135.5 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026, meningkat 9% berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong pertumbuhan pendapatan faedah serta lonjakan hampir 33% dalam pendapatan bukan faedah.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan Kenanga Research berpandangan bank itu masih berdepan risiko peningkatan kos kredit berikutan nisbah perlindungan kerugian pinjaman yang rendah serta baki peruntukan tambahan yang agak kecil, walaupun prospek pertumbuhan pinjaman kekal disokong saluran pembiayaan bernilai RM14 bilion.

 

Sementara itu, CIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM2.82, namun menyifatkan sasaran pelan transformasi AX28 untuk meningkatkan keuntungan sebelum cukai kepada sekitar RM1.8 bilion menjelang 2028 sebagai agak mencabar dan mungkin memerlukan penilaian semula sekiranya momentum pertumbuhan tidak dipercepatkan.

 

Data Bloomberg pula menunjukkan daripada 10 penganalisis yang membuat liputan ke atas Affin Bank, tiga memberikan saranan 'beli' manakala tujuh lagi mengekalkan 'pegang', dengan purata harga sasaran 12 bulan sekitar RM2.66 sesaham, mencerminkan keyakinan sederhana terhadap prospek bank itu walaupun masih berdepan cabaran dalam meningkatkan keuntungan dan mengurus kualiti aset. - DagangNews.com