Azizan Abd Aziz tinggalkan Bank Islam, dilantik CFO Bursa Malaysia mulai 1 Ogos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Azizan Abd Aziz tinggalkan Bank Islam, dilantik CFO Bursa Malaysia mulai 1 Ogos

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 6 Jun - Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Bank Islam Malaysia Bhd, Azizan Abd Aziz bakal menyertai Bursa Malaysia sebagai Ketua Pegawai Kewangan baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

 

Beliau akan mengetuai fungsi kewangan Bursa yang meliputi pelaporan kewangan dan pengurusan, perancangan korporat serta penyediaan bajet.

 

Azizan mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam industri perkhidmatan kewangan dengan kepakaran dalam kewangan korporat dan khidmat nasihat. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, mereka mengalu-alukan penyertaan Azizan ke Bursa Malaysia. 

 

“Pengalaman luas dan ketajaman kewangannya dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh kecekapan operasi dan usaha strategik kami dalam landskap pasaran yang dinamik,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau juga pernah memegang jawatan kanan di dua firma perakaunan global ‘Big Four’, iaitu Deloitte (Malaysia) dan KPMG (UK).

 

Sementara itu, Bank Islam memaklumkan hari terakhir Azizan di bank tersebut ialah pada 31 Julai 2025.

 

Syarikat tersebut kini sedang meneliti calon-calon pengganti yang akan disemak dan diluluskan oleh lembaga pengarah.

 

Pengawal Kewangan Kumpulan, Siti Nur Huda Sufian akan mengambil alih tugas sebagai CFO sementara bermula 1 Ogos, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan pengurusan fungsi kewangan.

 

Azizan menyertai Bank Islam sebagai CFO pada Mei 2019 dan dilantik sebagai CFO kumpulan pada Oktober 2021, susulan penyenaraian bank tersebut.- DagangNews.com