Azam Baki mulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, tuntut RM100 juta kerana siar laporan fitnah jejaskan reputasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Azam Baki mulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, tuntut RM100 juta kerana siar laporan fitnah jejaskan reputasi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Feb — Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengeluarkan surat tuntutan (LOD) terhadap Bloomberg susulan penerbitan artikel yang didakwa berunsur fitnah berhubung pemilikan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

 

Menerusi peguamcaranya, Zain Megat & Murad, Azam menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta atas dakwaan yang menjejaskan reputasi dan kedudukan profesional beliau, selain menegaskan artikel berkenaan sebagai “fitnah, tidak bertanggungjawab dan mengelirukan”.

 

Menurut kenyataan firma guaman tersebut, artikel bertajuk “Malaysian Anti-Graft Chief Returns to Stocks After Outcry” yang diterbitkan pada 10 Februari lalu mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

 

 

 

 

 

Artikel itu turut menggambarkan pemilikan tersebut sebagai pendedahan awam pertama mengenai pegangan utama atas namanya sejak kontroversi terdahulu.

 

Bagaimanapun, LOD berkenaan menegaskan laporan tersebut memberi gambaran seolah-olah Azam tidak membuat pengisytiharan aset secara terbuka dan menyiratkan wujud salah laku berkaitan pegangan saham itu.

 

Menurut surat tuntutan tersebut, Azam telah mematuhi sepenuhnya semua keperluan pengisytiharan aset sebagai penjawat awam termasuk melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

 

Malah, saham yang dirujuk dalam laporan berkenaan telah pun dilupuskan sebelum artikel itu diterbitkan.

 

Firma guaman itu turut menjelaskan bahawa sebarang pelaburan dibuat menggunakan pendapatan sah dan faedah persaraan yang diperoleh sepanjang hampir empat dekad perkhidmatan awam.

 

Dalam pada itu, artikel tersebut juga didakwa mengungkit semula tuduhan lama yang telah disiasat dan diselesaikan, sekali gus mewujudkan persepsi tidak tepat bahawa Azam bertindak secara tidak sah, tidak jujur atau memiliki kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

 

Sehubungan itu, Bloomberg dituntut supaya mengeluarkan permohonan maaf bertulis yang jelas dan tanpa syarat dalam tempoh 14 hari, menarik balik serta memadam artikel tersebut daripada laman web, Terminal Bloomberg dan semua platform sindikasi pihak ketiga.

 

Permohonan maaf itu juga perlu disiarkan dalam bentuk yang dipersetujui oleh pihak peguam Azam.

 

Firma tersebut menegaskan bahawa Azam tidak melanggar mana-mana undang-undang, peraturan atau keperluan perkhidmatan awam, dan semua rekod pengisytiharan berkaitan adalah wujud serta boleh disahkan.

 

 

 

 

 

 

 

Azam, menurut kenyataan itu, kekal komited terhadap prinsip integriti, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuru

hjaya SPRM. — DagangNews.com - DagangNews.com