AYS Developers cipta rekod dunia Guinness anjur sesi latihan hartanah terbesar di dunia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AYS Developers cipta rekod dunia Guinness anjur sesi latihan hartanah terbesar di dunia

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 5 Jun – AYS Developers mencipta sejarah dengan mengadakan latihan hartanah terbesar dunia, sekali gus diiktiraf Guinness World Records sebagai sesi latihan jualan hartanah terbesar pernah direkodkan.

 

Sesi itu dilangsungkan bersama tokoh hartanah tersohor Asia Barat, Dr. Nour ElSerougy, Institut Inovasi Pakar Hartanah (Innovation Experts Real Estate Institute), dan Al Safi Bank, di Pusat Persidangan & Pameran Grand Hyatt, Dubai.

 

Acara itu juga berlangsung dengan kerjasama Al Safi Bank iaitu bank Islam pertama yang ditubuhkan dalam Pusat Kewangan Antarabangsa Astana (AIFC), menawarkan perkhidmatan kewangan patuh Syariah kepada pelanggan antarabangsa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AYS Developers, Yulia Loshchukhina berkata, syarikat bukan sekadar membina kediaman, tetapi membina legasi. 

 

"Rekod dunia itu simbol kepada pemikiran berani dan berpandangan jauh kami. Ia satu detik luar biasa yang menggabungkan pendidikan, inovasi, dan pelaburan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Dr. Nour ElSerougy berkata, acara tersebut merupakan platform untuk menyemai legasi pendidikan jangka panjang.

 

"Ia bukan sekadar tentang rekod, tetapi warisan ilmu. Kami membina komuniti profesional yang komited kepada pembangunan berterusan," katanya.

 

Lebih 2,500 peserta mendaftar secara individu menggunakan kod QR  dalam sesi sejam bermula 11:45 pagi yang dipantau rasmi Guinness World Records. Fokus strategi seperti penjualan 'off-plan', khususnya di kawasan pesat membangun Dubai Islands, lokasi tumpuan baharu AYS Developers.

 

Acara berprestij itu turut menghimpunkan tokoh industri dan pegawai kanan kerajaan serantau, diakhiri perbincangan panel mengenai hala tuju masa depan sektor hartanah Dubai.

 

Ahli panel terdiri daripada Ketua Jualan AYS Developers, Sonia Waters, Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif Al Ruwad Real Estate dan Biznet Consulting, Ismael Al Hammadi, Ketua Pegawai Operasi FIDU Properties, Nazish Khan, Ketua Pegawai Eksekutif Provident, Loai Al Fakir, Presiden Reelly AI, Denis Donovan, serta pakar strategi dan hos podcast, Spencer Lodge.

 

Projek dijangka meraih manfaat daripada pembangunan infrastruktur pesat dan kehadiran lebih 80 hotel serta pusat kesihatan bertaraf dunia — menjadikan Dubai Islands antara peluang pelaburan generasi baharu paling menarik di Asia Barat.

 

Ketua Jualan AYS Developers, Sonia Waters berkata, kejayaan itu itu hasil gabungan visi jelas dan tindakan strategik syarikat.

 

"Menyaksikan ribuan profesional berhimpun dengan semangat yang sama adalah luar biasa. Syarikat bukan sekadar menjual hartanah tetapi mencorak masa depan industri ini," katanya.

 

Lokasi itu merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Bandar Dubai 2040 yang menekankan pembangunan mampan, kualiti hidup, dan pelancongan dinamik.- DagangNews.com