Axis REIT beli pejabat, 2 blok gudang di Telok Gong, Klang bernilai RM80 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axis REIT beli pejabat, 2 blok gudang di Telok Gong, Klang bernilai RM80 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Ogos — Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) menerusi pemegang amanahnya, RHB Trustees Berhad memperoleh fasiliti gudang di Klang dengan pertimbangan tunai RM80 juta.

 

Kumpulan amanah pelaburan hartanah itu berkata, pembelian tersebut hasil pemeteraian perjanjian jual beli dengan TS Worldwide Warehousing Sdn Bhd dan ia terletak di Kawasan Perindustrian Telok Gong.

 

Hartanah berkenaan terdiri daripada dua blok gudang dengan bangunan pejabat tambahan dan struktur sampingan, di atas tanah perindustrian berstatus pegangan pajak berkeluasan kira-kira 4.12 hektar.

 

"Fasiliti ini memiliki keluasan bersih boleh disewakan iaitu 24,090.68 meter persegi dan ketika ini diduduki sepenuhnya oleh Tuck Sun Logistics Sdn Bhd," kata Axis REIT dalam makluman kepada bursa.

 

Kemudahan itu tambahnya, akan disewa kepada penyewa yang sama di bawah tempoh pajakan tetap selama enam tahun terdiri daripada tempoh permulaan tiga tahun dan tempoh kedua selama tiga tahun.

 

Ia akan dikenakan sewa bulanan permulaan sebanyak RM425,764.40, tertakluk kepada peningkatan yang dipersetujui semasa penggal kedua. Lokasinya juga berdekatan pusat bandar raya Klang dan Shah Alam.

 

Axis
LEONG KIT MAY

 

Selain itu kata Axis REIT, fasiliti tersebut terletak secara strategik dengan akses sangat baik ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Pulau Indah, Lebuhraya Shah Alam dan Lebuhraya Pantai Barat.

 

"Pemerolehan dibiayai oleh kemudahan bank sedia ada, dan dijangka meningkatkan nisbah pembiayaan Axis REIT kepada 34.3% daripada jumlah aset yang telah diaudit pada 31 Disember 2024," tambahnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May berkata, pemerolehan ini adalah selaras dengan strategi pelaburan kumpulan berkenaan sendiri.

 

Langkah tersebut kata beliau, untuk mengembangkan lagi portfolio dengan aset berkualiti tinggi selain terletak di kawasan perindustrian yang mantap serta berdekatan dengan Pelabuhan Klang.

 

"Setelah selesai pengambilalihan ini menjelang akhir 2026, kami yakin aset ini akan mengukuhkan asas pendapatan berulang kami dan menyumbang hasil secara positif,” katanya. - DagangNews.com