KUALA LUMPUR 17 Jun - Axiata Group Bhd menjual keseluruhan 87.5% pegangan dalam syarikat menara telekomunikasi, Edotco Myanmar Ltd, dengan nilai RM380 juta kepada syarikat konglomerat Myanmar, Yoma Strategic Holdings.
Walaupun penjualan itu menyebabkan kerugian sebanyak RM130.3 juta, penganalisis melihatnya sebagai langkah positif kerana Axiata tidak lagi terdedah kepada risiko beroperasi di bawah pemerintahan tentera Myanmar.
Kenanga Research berkata, penjualan tersebut boleh menarik minat baharu daripada pelabur terhadap aset lain milik Axiata.
Antara aset berkenaan adalah Edotco Group Sdn Bhd yang 63% dimiliki Axiata, PT Link Net Tbk di Indonesia, Boost Holdings Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan teknologi kewangan dan syarikat kecerdasan buatan dan data, ADA Asia Malaysia Sdn Bhd.
"Penjualan itu dibuat pada harga 40% lebih rendah daripada tawaran asal RM636.38 juta yang diterima pada April tahun lalu," kataya dalam satu nota kajian.
Hasil jualan akan digunakan untuk membayar hutang dan menyokong kos operasi Edotco.
Menurut Kenanga Research, langkah tersebut boleh mengukuhkan kewangan Edotco dan mungkin membolehkan syarikat mula memberi dividen kepada pemegang saham tahun ini, terutama dari pasaran utama seperti Malaysia, Bangladesh dan Kemboja.
Kenanga Research juga berkata, operasi berterusan di Myanmar boleh menjejaskan reputasi dan mematuhi peraturan, sekali gus mengurangkan minat pelabur.
Dengan penjualan berkenaan, Axiata kini lebih bersedia untuk meningkatkan nilai asetnya dan sebarang keuntungan masa depan boleh menampung semula kerugian yang dialami.
CIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Axiata dengan harga sasaran RM2.55 sesaham, sementara Kenanga kekal dengan saranan 'market perform' dan sasaran RM2.15 sesaham.
Walaupun Edotco Myanmar tidak mempunyai hutang selain liabiliti pajakan berjumlah RM45.7 juta, transaksi berkenaan dijangka hanya mengurangkan sedikit nisbah hutang bersih Edotco Group kepada 0.83 kali berbanding 0.81 kali sebelum ini. - DagangNews.com








