KUALA LUMPUR 10 Feb — Axiata Group Berhad masih lagi berdepan dengan cabaran ketidaktentuan pasaran serantau dan pelaksanaan strategi jangka panjang kumpulan itu yang dikenali sebagai Axiata28.
Kumpulan itu namun terus menerima sokongan positif daripada firma penyelidikan dengan tumpuan utama pelabur kekal kepada pengewangan aset infrastruktur, pengurangan hutang serta pertumbuhan dividen.
Antaranya, RHB Research yang mengekalkan saranan 'beli' ke atas Axiata dengan harga sasaran (TP) RM2.95 sesaham, yang mewakili potensi kenaikan 35% serta hasil dividennya diunjur sekitar 4.6%.
"Kami berpandangan Mesyuarat Tahunan Pelabur Axiata 2026 sudah mengesahkan hala tuju strategik kumpulan untuk pengembangan penilaian, dengan lonjakan hasil dijangka bermula FY27," katanya.
Menurutnya, pengurusan memperhalusi sasaran kewangan dengan unjuran pertumbuhan dividen sesaham (DPS) sekurang-kurangnya 10% setahun bermula FY26 dan sasaran nisbah hutang bersih kurang 2 kali.
Unjuran itu jelas RHB Research, dipacu operasi teras tanpa mengambil kira faktor pengewangan aset, manakala pemangkin utama termasuk sinergi integrasi lebih mendalam di Malaysia dan Indonesia.
Selain itu, ia menjangka pemulihan purata hasil setiap pengguna (ARPU), pengewangan 5G serta prestasi kukuh operasi barisan hadapan seperti Dialog dan Smart untuk mencatat pulangan pelaburan.
"Kami turut menekankan kemajuan konsisten dalam usaha penyahhutangan kumpulan, dengan jumlah hutang keseluruhan susut ketara sepanjang tempoh sembilan bulan pada 2025," tambah firma itu.
Dari sudut penilaian kata RHB Research, Axiata kini diniagakan 1.8 sisihan piawai di bawah purata sejarah perolehan kasar, yang dilihat sudah mengambil kira kebanyakan risiko pelaksanaan awal.
Sementara itu, CGS International (CGSI) pula masih lagi mengekalkan saranan 'tambah' dengan TP RM3.22 sesaham, berasaskan kepada nilai aset bersih boleh direalisasi (RNAV) kumpulan tersebut.
Firma berkenaan melihat penyiapan pengewangan aset infrastruktur anak syarikat iaitu Edotco dan Link Net di Indonesia, sebagai pemangkin utama untuk merapatkan diskaun 42% terhadap RNAV.
"Axiata menyasarkan penyempurnaan kedua-dua transaksi ini pada 2026, walaupun proses Edotco pula mengalami kelewatan susulan kerumitan struktur urus niaga dan keperluan kawal selia," katanya.
Dana hasil pengewangan tersebut jelas CGSI, dijangka digunakan untuk mengurangkan hutang syarikat pegangan, sekali gus dapat memperjelas aliran keuntungan operasi ke keuntungan bersih kumpulan.
Firma itu turut menekankan strategi Axiata28 yang menyasarkan tiga hasil ekonomi utama bagi tempoh 2026 hingga 2028, antaranya rancangan pertumbuhan DPS sekurang-kurangnya 10% pada setiap tahun.
Pengurusan kumpulan berkenaan juga kata firma tersebut, berharap ada pengurangan nisbah hutang bersih kepada bawah dua kali, serta pulangan jumlah pemegang saham (TSR) iaitu satu digit tinggi.
"Sumbangan dividen dan aliran tunai daripada CelcomDigi dan XLSmart selepas penggabungan turut dilihat sebagai faktor sokongan kepada Axiata dalam tempoh jangka panjang," tambah CGSI.
Secara keseluruhan, dua firma itu kekal konstruktif terhadap prospek Axiata, dengan pengewangan aset, disiplin kewangan dan dasar dividen yang jelas akan menjadi pemacu utama minat pelabur.
Bagaimanapun, risiko pelaksanaan, persekitaran kawal selia serta ketidaktentuan geopolitik di pasaran barisan hadapan kekal sebagai faktor yang perlu dipantau rapi. - DagangNews.com








