Axiata diyakini berkembang dalam perniagaan digital, berpotensi jana aset kukuh - Kenanga Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata diyakini berkembang dalam perniagaan digital, berpotensi jana aset kukuh - Kenanga Research 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Perniagaan digital Axiata Group Bhd berpotensi menjana pengewangan aset kukuh serta diramal berkembang dalam sektor telekomunikasi, kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Axiata terus digemari kerana rancangannya untuk mengurangkan hutang dan mengukuhkan kunci kira-kiranya. 

 

Katanya, PT XL Axiata Tbk (XL Axiata) baru-baru ini melaporkan hasil yang memenuhi jangkaan, didorong oleh pertumbuhan asas pelanggan kukuh dan hasil purata berdaya tahan bagi setiap pengguna (Arpu) walaupun menghadapi tekanan persaingan.

 

Walaupun syarikat itu melaksanakan kenaikan tarif prabayar disasarkan di wilayah terpilih sejak September 2024, Arpu kekal stabil secara berurutan pada suku keempat dibantu oleh pembelian pengguna lebih lemah, yang seterusnya mendorong kepada penggunaan data dan volum trafik rendah.

 


“Memandang ke hadapan, XL Axiata akan meneruskan strategi kenaikan harga tempatan yang disasarkan, dengan harapan pesaing akan mengikutinya bagi menstabilkan Arpu di seluruh pasaran.

 

“Selain itu, XL Axiata sedang mempertimbangkan penyertaan dalam lelongan spektrum penyediaan perkhidmatan data 1.4GHz yang tidak dijangka, memandangkan penggunaannya terhad kepada akses wayarles tetap dan bukannya perkhidmatan telefon mudah alih.

 

“Syarikat itu juga tidak menolak kemungkinan untuk melepaskan sebahagian lesen penyediaan perkhidmatan 5G dalam PT Smartfren Telecom Tbk di Indonesia yang baru diperolehnya berikutan penggabungan kedua dengan XL Axiata yang dijangka berlaku pada separuh kedua 2025,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

XL Axiata tidak menyediakan laporan tahun kewangan semasanya akibat ketidaktentuan mengenai penggabungan SmartFren.

 

Oleh yang demikian, Kenanga mengekalkan saranan "outperform" pada Axiata.

 

“Kami juga mengekalkan harga sasaran (TP) sebanyak RM2.60 sesaham.

 

“Antara risiko kepada saranan kami termasuk potensi kemunduran pendapatan daripada Smart Fren di Indonesia akibat pemerolehannya yang belum selesai dan kitaran naik perbelanjaan modal yang dikaitkan dengan pelaksanaan 5G yang di Indonesia,” katanya.- DagangNews.com