AWC raih kontrak RM13.6 juta sistem pengurusan sisa di Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AWC raih kontrak RM13.6 juta sistem pengurusan sisa di Singapura

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Sept  – Syarikat penyelesaian kejuruteraan bersepadu, AWC Berhad menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Stream Environment (S) Pte Ltd meraih kontrak reka bentuk, pembinaan dan operasi sistem pengangkutan sisa pneumatik (PWCS) untuk Projek DC & DD di Singapura.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AWC memberitahu telah menerima Surat Penerimaan (LoA) daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura membabitkan kontrak bernilai S$3.9 juta (anggaran RM13.6 juta) yang akan dilaksanakan dalam dua fasa.

 

Katanya, kerja reka bentuk bermula dari 2 Oktober 2025 hingga 1 Oktober 2026, manakala fasa pembinaan dijangka disiapkan dalam tempoh 24 bulan dari tarikh permulaan.

 

AWC menjangkakan kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

 

“Kontrak ini adalah sebahagian daripada operasi biasa syarikat dan selaras dengan kepakaran serta keupayaan Stream Environment di Singapura,” jelas AWC.

 

Risiko berkaitan dengan kontrak ini dianggap bersifat operasi dan sejajar dengan projek lain yang pernah dikendalikan oleh Stream Environment di republik tersebut.

 

Lembaga Pengarah AWC turut menyatakan bahawa selepas mempertimbangkan semua aspek kontrak, penerimaan LoA ini adalah dalam kepentingan terbaik syarikat dan sejajar dengan strategi pengembangan kumpulan di luar negara.

 

Sementara itu penganalisis menyifatkan pencapaian terbaru AWC ini memperkukuh lagi kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian alam sekitar serantau, khususnya dalam teknologi pengurusan sisa moden seperti PWCS — sistem automatik yang semakin popular dalam projek pembangunan bandar pintar.

 

Dalam persekitaran urbanisasi pesat seperti Singapura, penglibatan dalam projek berimpak tinggi sebegini bakal memberikan AWC akses kepada peluang jangka panjang dalam sektor kejuruteraan lestari dan pengurusan fasiliti. - DagangNews.com