Awantec lupus bangunan pejabat lapan tingkat di Cyberjaya berharga RM25 juta kepada Puncak Hartanah Intelek | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Awantec lupus bangunan pejabat lapan tingkat di Cyberjaya berharga RM25 juta kepada Puncak Hartanah Intelek

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Awanbiru Technology Bhd (Awantec) menerusi Awantec Systems Sdn Bhd memeterai lapan perjanjian jual beli (SPA) berasingan dengan Puncak Hartanah Intelek Sdn Bhd bagi melupuskan sebuah bangunan pejabat lapan tingkat dikenali sebagai Blok 12, Corporate Park, Star Central @ Cyberjaya pada harga RM25 juta. 

 

Kumpulan itu berkata, pelupusan itu adalah sebahagian daripada pelan rasionalisasi kumpulan bagi melepaskan aset bukan teras, memperbaiki kedudukan kewangan dan aliran tunainya.

 

Katanya, penjualan itu akan mengurangkan pinjamannya, menjana hasil tambahan, dan mewujudkan penjimatan aliran tunai daripada pembayaran balik pinjaman, yang boleh diarahkan semula kepada operasi perniagaan kumpulan.

 

"Penyelesaian pinjaman bank yang terikat dengan hartanah akan menghasilkan penjimatan aliran tunai tahunan kira-kira RM 2.7 juta.

 

"Selain itu, pelupusan ini akan menghasilkan penjimatan kos tahunan kira-kira RM700,000 berkaitan perbelanjaan pinjaman dan penyelenggaraan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, pelupusan itu dijangka tidak akan mengakibatkan kesan material ke atas pendapatan disatukan atau pendapatan sesaham (EPS) kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.

 

"Pelupusan itu dijangka mengakibatkan kerugian kepada kumpulan kira-kira RM800,000," katanya.

 

Tertakluk kepada pemenuhan semua syarat yang digariskan dalam SPA dan menghalang sebarang keadaan yang tidak dijangka, lembaga pengarah menjangkakan pelupusan itu akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan dari tarikh SPA. - DagangNews.com