AuMAS Resources nafi laporan akhbar dakwa jalankan aktiviti perlombongan tanpa lesen sah dan EIA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AuMAS Resources nafi laporan akhbar dakwa jalankan aktiviti perlombongan tanpa lesen sah dan EIA

Gambar/AuMAS Resources Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 Feb - AuMAS Resources Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai Bahvest Resources Bhd, menafikan tuduhan yang disiarkan dalam akhbar Overseas Chinese Daily News pada 19 Februari 2025, yang mendakwa anak syarikatnya, Wullersdorf Resources Sdn Bhd (WRSB), beroperasi tanpa lesen yang sah dan kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

 

Dalam satu kenyataan, syarikat tersebut menyifatkan artikel itu sebagai sama sekali tidak berasas, mengelirukan dan memfitnah.

 

"Lembaga pengarah ingin menjelaskan bahawa maklumat dalam artikel tersebut adalah palsu sama sekali.

 

"Syarikat tetap komited untuk meneruskan operasi perniagaan seperti biasa tanpa gangguan dan tiada akaun bank syarikat yang dibekukan," kata AuMAS dalam satu kenyataan.

 

Syarikat itu menegaskan, WRSB memiliki lesen Skim Perlombongan Operasi Sah (OMS) yang sah, yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah.

 

"Lesen ini sah dari 9 Oktober 2024 hingga 9 April 2025 dan boleh diperbaharui setiap enam bulan.

 

"Selain itu, EIA telah diluluskan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah pada 16 Mac 2017," jelas syarikat.

 

AuMAS berkata, pihaknya berhak mengambil tindakan undang-undang yang perlu bagi melindungi reputasi dan kepentingannya daripada dakwaan palsu tersebut. - DagangNews.com