KUALA LUMPUR 6 Jun - Asia Vision Capital (AVC) menjalinkan kerjasama strategik dengan JYSigma Business Consultancy bagi memperluas akses pelabur serantau kepada dana pemilikan persendirian hartanah dalam pembangunan Quayside JBCC di Johor Bahru, berhampiran koridor Johor–Singapura.
Usaha sama itu memperkukuh capaian dua dana terkawal AVC iaitu QJBCCA PLT (konvensional) dan QJBCCI PLT (patuh Syariah), yang menawarkan pendedahan kepada pembangunan bersepadu.
Ketua Pegawai Pelaburan Asia Vision Capital, Ian Khor berkata, kerjasama dengan JYSigma merupakan langkah penting untuk mengembangkan kehadiran serantau kami dan memperkukuh penawaran kepada pelabur.
“Usaha sama ini membolehkan kami menembusi pasaran baharu sambil mengekalkan piawaian institusi dan fokus terhadap pelabur yang menjadi teras Asia Vision Capital,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah JYSigma Business Consultancy, Jack Yang berkata, kolaborasi itu menandakan kemasukan mereka ke dalam pelaburan hartanah patuh Syariah berimpak tinggi, satu bidang yang dilihat semakin penting dalam hala tuju penyaluran modal di rantau Asia Tenggara.
Projek itu merangkumi kediaman servis, lot runcit, hotel, dan ruang makan atas bumbung, selain menjana pendapatan menerusi pelbagai saluran termasuk pengiklanan LED.
AVC menyasarkan komitmen dana sehingga RM300 juta, dengan operasi dijangka bermula 2027/2028 dan potensi penyenaraian sebagai Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) menjelang 2032.
Pembangunan itu meraih pelbagai pengiktirafan industri termasuk Anugerah Pembangunan Reka Bentuk Terbaik (Malaysia) di Anugerah Asia PropertyGuru 2024 dan anugerah Pembangunan Reka Bentuk Terbaik (Malaysia) daripada 18 finalis.
JYSigma membuka pejabat khusus di Johor Bahru bagi menyokong penglibatan pelabur merentasi Johor, Singapura, dan Asia Tenggara.
Pencapaian terkini itu menambah senarai penghormatan serantau dan global yang semakin berkembang, termasuk OPAL 2023, Asia Pacific Property Award 2023–2024, ASEAN Property Developer Awards 2023/2024 serta pengiktirafan di Anugerah StarProperty dan KSI.- DagangNews.com








