KUALA LUMPUR 9 Jun - Ascend Airways Malaysia, dijangka melancarkan operasi penerbangan kargo pada November 2025 sebelum memulakan perkhidmatan penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Germal Singh Khera berkata, pesawat kargo pertama jenis B737-800 dijangka tiba di Malaysia pada suku ketiga 2025 bagi mempercepat proses pelancaran operasi kargo.
Katanya, ia akan disusuli dua pesawat penumpang jenis sama yang akan diterima syarikat pada hujung 2025 dan awal 2026.
"Langkah ini mampu merancakkan sektor logistik dan kargo udara di Malaysia serta rantau Asia Pasifik," katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat ketika ini berada di Fasa 3 proses permohonan Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi membolehkan ia memulakan operasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025.
Ascend Airways Malaysia adalah anak syarikat kepada Avia Solutions Group, iaitu penyedia perkhidmatan sewa pesawat (ACMI) terbesar di dunia.
Syarikat tersebut akan menawarkan perkhidmatan sewa pesawat dan penerbangan sewa khas untuk kargo dan penumpang bagi menyokong pertumbuhan industri penerbangan tempatan.
Ia menerima Permit Perkhidmatan Udara Bersyarat (CASP) daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada 2024.
Khera dalam pada itu berkata, syarikat komited untuk menjadi rakan ACMI yang boleh dipercayai dan membantu perkembangan syarikat penerbangan serta pengendali logistik di rantau ini.
"Kami sangat menghargai sokongan berterusan daripada Kementerian Pengangkutan, CAAM, Mavcom dan semua pihak terlibat dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat penerbangan serantau," jelasnya.
Ascend Airways Malaysia juga merancang untuk menawarkan perkhidmatan sewa pesawat lengkap bagi membantu syarikat penerbangan dan logistik mengatasi masalah seperti gangguan penerbangan atau penyelenggaraan yang lama, terutamanya semasa musim sibuk.
Ketua Pegawai Eksekutif Ascend Airways United Kingdom (UK), Alastair Willson pula berkata, syarikatnya akan menyediakan perkhidmatan ACMI yang fleksibel serta melaksanakan strategi penggunaan pesawat bermusim antara UK, Malaysia dan Asia Pasifik untuk memenuhi permintaan yang berubah-ubah dalam industri penerbangan. - DagangNews.com








