Asas ekonomi yang kukuh, pembaharuan dasar berterusan terus sokong Ringgit - BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Asas ekonomi yang kukuh, pembaharuan dasar berterusan terus sokong Ringgit - BNM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Mei – Ringgit dijangka kekal disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta momentum pembaharuan dasar yang berterusan, menurut Bank Negara Malaysia.

 

Bank pusat itu berkata, walaupun pergerakan mata wang tempatan masih dipengaruhi faktor luaran, prospek ekonomi negara yang stabil serta pembaharuan struktur yang berterusan akan terus menjadi pemangkin sokongan kepada nilai ringgit.

 

BNM berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan global dengan rapi bagi memastikan pasaran pertukaran asing domestik kekal berfungsi secara teratur dan tidak terganggu oleh ketidaktentuan luar.

 

“Setakat 13 Mei 2026, ringgit merupakan antara mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia apabila mencatat pengukuhan 3.3 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat.

 

“Dalam tempoh sama, ringgit turut meningkat 2.9 peratus berdasarkan kadar efektif nominal (NEER), mencerminkan keyakinan pasaran terhadap daya tahan ekonomi Malaysia,” kata BNM.

 

Prestasi positif ini dicapai meskipun persekitaran global kekal mencabar, khususnya susulan ketegangan geopolitik yang berpanjangan termasuk perang Iran yang memasuki bulan ketiga tanpa penyelesaian jelas.

 

Ketidaktentuan global tersebut turut memberi kesan kepada harga tenaga dan rantaian bekalan dunia, sekali gus mencetuskan tekanan kepada beberapa ekonomi serantau.

 

Namun begitu, Malaysia dilihat lebih berdaya tahan berbanding beberapa negara jiran dalam menghadapi kejutan luar, disokong oleh struktur ekonomi yang stabil serta dasar fiskal dan monetari yang berhati-hati.

 

Inflasi domestik pula kekal terkawal walaupun menunjukkan sedikit peningkatan, disokong oleh sistem subsidi bersasar serta kawalan harga ke atas barangan keperluan asas yang membantu mengekang kenaikan kos sara hidup.

 

Dalam masa sama, kerajaan telah memperkenalkan program bantuan hutang berjumlah RM5 bilion khusus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi dan konflik di Timur Tengah.

 

Langkah tambahan turut dilaksanakan oleh institusi kewangan termasuk fleksibiliti bayaran balik pinjaman, penstrukturan semula kemudahan pembiayaan serta khidmat nasihat kewangan bagi mengurangkan risiko pinjaman tidak berbayar.

 

Secara keseluruhan, sokongan dasar domestik, kestabilan makroekonomi serta keyakinan terhadap reformasi struktur dijangka terus menyokong prospek ringgit, walaupun risiko luaran kekal menjadi faktor yang perlu dipantau oleh pasaran kewangan. - DagangNews.com