KUALA LUMPUR 31 Jan - Pelancaran aplikasi jual beli motosikal, Rider Gate dipercayai bakal mewujudkan aliran pendapatan baharu bagi Ramssol Group Bhd, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Kumpulan itu menerusi RAMS AutoTech secara rasmi melancarkan Rider Gate pada 18 Januari 2025 dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan tambahan termasuk pemindahan pemilikan, pemeriksaan, insurans, jaminan lanjutan dan pembiayaan pintar.
Firma penyelidikan itu berkata, Ramssol telah melabur lebih RM10 juta ke dalam pembangunan platform dan bertujuan untuk menjadikannya "setara Carsome" untuk pasaran motosikal terpakai Malaysia.
"Semasa pelancaran kumpulan itu memasukkan 150 pengedar berdaftar ke platform dan menyasarkan untuk mengembangkan rangkaiannya kepada 800 pengedar merangkumi 3,000 cawangan di seluruh negara menjelang akhir 2025.
"Semasa fasa percubaannya pada 2024, Rider Gate berjaya menyempurnakan 1,450 transaksi," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB meramalkan pertambahan untung bersih teras sebanyak RM6.4 juta setahun bagi FY25 berdasarkan perkiraan 2,500 transaksi dengan caj sebanyak RM85 bagi setiap transaksi.
Katanya, Allied Market Research berpendapat, pasaran motosikal terpakai global bernilai AS$38.7 bilion pada 2021 dan dijangka berkembang pada CAGR 10 tahun sebanyak 5.6% untuk mencapai AS$66.2 bilion menjelang 2031.
Firma penyelidikan itu berkata, Malaysia mempunyai anggaran 16.7 juta motosikal berdaftar dan merupakan pasaran kenderaan dua roda ke-13 terbesar di dunia pada 2023.
"Sejumlah 500,000 ke 600,000 motosikal dijual di Malaysia setiap tahun, memudahkan urus niaga untuk hanya sebahagian kecil pasaran dengan pertambahan pendapatan ketara pada masa hadapan untuk Ramssol," katanya.- DagangNews.com








