KUALA LUMPUR 30 Mac - Perdana Menteri, Anwar Ibrahim didakwa mahu laporan siasatan berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki tidak didedahkan segera kepada umum, menurut laporan Bloomberg.
Menurut sumber yang dipetik Bloomberg, Anwar meminta pihak berkaitan menangguhkan pendedahan laporan itu sehingga siasatan berasingan terhadap dakwaan kewujudan “mafia korporat” selesai.
Kabinet pada Februari lalu mengarahkan siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada pegangan saham Azam melanggar had yang ditetapkan undang-undang. Siasatan tersebut dikendalikan oleh jawatankuasa tiga penjawat awam kanan yang diketuai Peguam Negara sebelum hasilnya dibentangkan kepada Kabinet.
Perkara itu kini dirujuk kepada Ketua Setiausaha Negara untuk tindakan lanjut.
Menurut Bloomberg lagi, kebimbangan utama Anwar ialah pendedahan awal laporan tersebut boleh menjejaskan persepsi terhadap kerajaan menjelang kemungkinan pilihan raya umum yang mungkin diadakan seawal tahun ini.
Laporan itu juga menyatakan Kabinet dijangka membincangkan semula isu berkenaan selepas siasatan terhadap rangkaian yang digelar “mafia korporat” dimuktamadkan.
Siasatan tersebut melibatkan dakwaan sekumpulan ahli perniagaan bekerjasama dengan pegawai SPRM untuk menekan dan menyingkirkan eksekutif syarikat. Awal bulan ini, Kabinet mengarahkan agensi penguatkuasaan termasuk SPRM menyiasat dakwaan tersebut, namun tempoh siasatan masih belum jelas.
Bloomberg turut melaporkan bahawa Anwar dijangka membenarkan Azam berundur selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada 12 Mei ini.
Mahu jadi senator
Pada masa sama, Azam dilaporkan sedang berusaha untuk dilantik sebagai senator selepas meninggalkan jawatan tersebut, menurut sumber yang mengetahui perkara itu. Pelantikan senator dibuat oleh Dewan Undangan Negeri atau Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, dengan tempoh maksimum dua penggal tiga tahun.
Pejabat Perdana Menteri, Azam dan wakil SPRM bagaimanapun tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan komen Bloomberg.
Dua laporan Bloomberg yang diterbitkan pada Februari lalu mencetuskan reaksi meluas dalam kalangan rakyat Malaysia.
Laporan pertama mendedahkan pegangan saham Azam yang didakwa melebihi had dibenarkan bagi penjawat awam, manakala laporan kedua menyentuh dakwaan kerjasama antara pegawai SPRM dan ahli perniagaan untuk mensasarkan eksekutif syarikat.
Pegangan saham jadi isu utama
Azam serta SPRM telah menafikan semua dakwaan tersebut.
Ahli Parlimen daripada parti Anwar, Rafizi Ramli sebelum ini mendakwa siasatan tersebut menemui pegangan saham bernilai kira-kira RM14 juta dalam sembilan syarikat dimiliki Azam.
Berdasarkan pekeliling kerajaan 2024 yang merujuk kepada peraturan 1993, penjawat awam hanya dibenarkan memiliki saham dalam syarikat tempatan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000, mana yang lebih rendah, selain perlu mengisytiharkan aset secara berkala.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan “mafia korporat”, namun beliau mengakui gagal mendapatkan persetujuan Kabinet.
Sementara itu, pada 13 Mac lalu, polis bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menyerbu premis seorang ahli perniagaan tempatan yang dinamakan dalam laporan Bloomberg.
Individu tersebut menafikan penglibatannya dalam rangkaian “mafia korporat” dan mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam, sambil menegaskan siasatan perlu turut melibatkan peranan SPRM dan pihak polis. - DagangNews.com








