Ann Joo meterai usaha sama bangunkan Gurun Heavy Industrial Park bernilai lebih RM200 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ann Joo meterai usaha sama bangunkan Gurun Heavy Industrial Park bernilai lebih RM200 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Dis - Ann Joo Resources Berhad menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Gurun Heavy Industrial Park Sdn. Bhd. (GHIP), memeterai dua perjanjian usaha sama dengan Transyear Sdn. Bhd. bagi membangunkan Gurun Heavy Industrial Park Fasa 1A dan Fasa 1B di Kedah, dengan anggaran hasil kasar melebihi RM203 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ann Joo berkata perjanjian tersebut dimeterai pada 15 Disember 2025 melibatkan pembangunan dua lot tanah pegangan bebas milik GHIP di Bandar Gurun, Daerah Kuala Muda.

 

Bagi Fasa 1A, pembangunan melibatkan tanah berkeluasan 392,000 meter persegi di bawah Geran No. 67225, Lot 8072, manakala Fasa 1B melibatkan sebahagian tanah berkeluasan kira-kira 445,896 meter persegi di bawah Geran No. 67221, Lot 8071. Kedua-dua fasa pembangunan tersebut akan dibangunkan sebagai taman perindustrian.

 

Ann Joo memaklumkan anggaran jumlah kos pembangunan yang boleh diagihkan kepada GHIP, termasuk kos tanah, adalah sebanyak RM82.2 juta, manakala hasil kasar dijangka melebihi RM203 juta.

 

Pembiayaan bagi kos pembangunan akan dibiayai melalui dana dalaman yang dijana dan/atau pinjaman.

 

Hasil yang diperoleh daripada pembangunan tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan modal, pelaburan dan/atau modal kerja Kumpulan pada masa hadapan.

 

Menurut Lembaga Pengarah, usaha sama itu membolehkan GHIP membuka dan memaksimumkan nilai tanah miliknya dengan bekerjasama bersama Transyear atau Oriental Max, yang merupakan pemaju hartanah berpengalaman di wilayah Utara.

 

"Pembangunan taman perindustrian itu dijangka meningkatkan kebolehpasaran tanah serta menghasilkan nilai pelupusan yang lebih tinggi berbanding penjualan tanah secara langsung.

 

"Struktur usaha sama tersebut turut membolehkan GHIP memanfaatkan kepakaran teknikal, keupayaan pengurusan projek dan rangkaian pasaran pemaju tanpa menanggung risiko pembangunan yang besar atau memerlukan komitmen modal yang signifikan," kata kenyataan itu.

 

Lembaga Pengarah Ann Joo berpendapat pembangunan Gurun Heavy Industrial Park ini dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa hadapan Kumpulan, selaras dengan strategi untuk mempercepatkan pengewangan bank tanah dan mengukuhkan kedudukan kewangan jangka panjang. - DagangNews.com