Ancom Nylex raih manfaat kelulusan MSMA di Brazil, harga sasaran dinaikkan kepada RM1.40 - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ancom Nylex raih manfaat kelulusan MSMA di Brazil, harga sasaran dinaikkan kepada RM1.40 - Kenanga Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Jan - Ancom Nylex Bhd dijangka mendapat manfaat positif susulan kelulusan penggunaan MSMA bagi tanaman kacang soya di Brazil oleh agensi alam sekitar negara itu, Instituto Brasileiro do Meio Ambiente e dos Recursos Naturais Renováveis (IBAMA), menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Brazil merupakan penanam kacang soya terbesar dunia dan kelulusan tersebut membuka peluang pertumbuhan baharu kepada Ancom yang mempunyai kehadiran perniagaan di negara berkenaan.

 

Tambahan pula, pemegang saham terbesar syarikat, Helm AG, turut memiliki rangkaian pengedaran sendiri di Brazil, sekali gus memperkukuh potensi penembusan pasaran.

 

"Walaupun unjuran kewangan bagi tahun kewangan FY26–27F dikekalkan kerana sumbangan jualan MSMA di Brazil telah diambil kira lebih awal, harga sasaran (TP) saham Ancom telah dinaikkan daripada RM1.20 kepada RM1.40.

 

"Kenaikan ini adalah berdasarkan penggunaan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sasaran yang lebih tinggi iaitu 15 kali berbanding 13 kali sebelum ini, selaras dengan prospek pertumbuhan yang semakin baik. Saranan OUTPERFORM turut dikekalkan," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Menurut Kenanga Research, dari segi prospek jualan, suku keempat FY26 dijangka menyaksikan beberapa tempahan awal bagi musim penanaman kacang soya 2026.

 

"Namun begitu, jualan yang lebih ketara dijangka hanya bermula pada FY27 memandangkan setiap daripada 29 negeri di Brazil perlu menerima pakai senarai kelulusan MSMA secara berasingan," katanya.

 

Firma itu menambah, secara keseluruhan, keuntungan bersih teras (CNP) bagi FY26–27F dianggarkan pada RM90 juta hingga RM110 juta, dengan potensi meningkat kepada RM140 juta hingga RM150 juta menjelang FY30.

 

Daripada jumlah peningkatan tersebut, sekitar RM20 juta hingga RM30 juta dijangka datang daripada jualan MSMA kepada petani kacang soya.

 

Dari sudut penilaian, pada PER 15 kali, Ancom masih diniagakan pada kira-kira separuh daripada PER hadapan syarikat bahan kimia pertanian serantau yang lebih besar.

 

Penarafan ESG syarikat kekal pada tiga bintang, dan tiada perubahan dibuat terhadap harga sasaran berdasarkan faktor tersebut.

 

Kenangan Research turut mengekalkan pandangan positif terhadap Ancom berikutan kedudukannya sebagai pengeluar bahan aktif racun rumpai terbesar di Asia Tenggara.

 

Kedudukan ini memberikan pendedahan neutral kepada ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, di samping membolehkan syarikat mendapat manfaat daripada larangan penggunaan Paraquat yang semakin meluas di peringkat global.

 

Selain itu, peningkatan sumbangan daripada segmen kacang soya dilihat mampu membantu pelabur mempelbagaikan pendedahan di luar sektor perladangan kelapa sawit, sambil mengekalkan pendedahan kepada sektor makanan dan bahan api global yang bersifat defensif. - DagangNews.com