Ancom Nylex perkukuh jejak serantau menerusi perjanjian dengan Topnext, bantu pengembangan kumpulan – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ancom Nylex perkukuh jejak serantau menerusi perjanjian dengan Topnext, bantu pengembangan kumpulan – HLIB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Dis - Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) melihat langkah strategik Ancom Nylex Bhd memeterai perjanjian dengan syarikat Thailand, Topnext International Company Ltd, sebagai pemangkin penting untuk memperkukuh kedudukan kumpulan itu di pasaran Asia Tenggara.

 

Menurut HLIB, kerjasama itu membolehkan anak-anak syarikat Ancom Nylex memanfaatkan rangkaian pengedaran luas Topnext dan syarikat induknya, Thaioil Public Company Limited.

 

Langkah ini dijangka mempertingkat capaian produk kumpulan ke pasaran utama rantau tersebut.

 

HLIB menjelaskan pertimbangan tunai sebanyak RM76.9 juta bagi urus niaga tersebut bersamaan 0.5 kali modal saham diterbit dan dibayar Topnext bernilai 1.2 bilion baht (RM154.7 juta), menunjukkan kedudukan kewangan Topnext yang kukuh untuk menyokong transaksi tersebut.

 

Urus niaga berkenaan melibatkan pelupusan sehingga 50 peratus kepentingan ekuiti dalam Maxlive Sdn Bhd — syarikat pegangan pelaburan yang bakal memayungi enam anak syarikat Ancom Nylex: Perusahaan Kimia Gemilang, Ancom Kimia, Dynamic Chemical dan Ancom Nylex Terminals.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ancom Nylex rancang jual sehingga 50% saham Maxlive kepada Topnext Thailand bernilai RM76.9 juta

 

Dua lagi syarikat ialah One Chem Terminal dan CKG Chemicals. Pelupusan ini akan dilaksanakan dalam dua peringkat, masing-masing tranche 25 peratus bernilai AS$9.32 juta (RM38.5 juta).

 

Sebagai sebahagian daripada struktur transaksi, Topnext ditawarkan opsyen jual tiga tahun bagi tranche pertama, manakala opsyen beli lima tahun disediakan untuk tranche kedua. Ini memberi kelonggaran strategik kepada kedua-dua pihak dalam mengurus kepentingan jangka panjang.

 

Perjanjian pengedaran turut menjadi komponen penting kerjasama tersebut. Ancom Nylex akan menjadi pengedar pilihan produk terpilih Topnext, manakala Topnext pula akan menerima status sama bagi produk-produk Ancom Nylex.

 

Pada masa sama, satu pengaturan dengan Helm AG sedang diteroka bagi pasaran India.

 

HLIB mengekalkan unjuran pendapatan Ancom Nylex memandangkan urus niaga ini masih di peringkat awal dan dijangka dimuktamadkan selepas tahun kewangan 2026–2027.

 

Kumpulan itu turut menegaskan Maxlive Sdn Bhd akan terus disatukan dalam penyata kewangan Ancom Nylex walaupun selepas transaksi selesai.

 

Dengan mengekalkan saranan BELI dan harga sasaran RM1.13, HLIB menyifatkan Ancom Nylex berada pada landasan kukuh disokong kedudukannya sebagai pengeluar bahan aktif racun rumpai berskala besar di Asia Tenggara, selain prospek pertumbuhan yang stabil daripada pengenalan bahan aktif baharu. - DagangNews.com