KUALA LUMPUR 5 Dis – Ancom Nylex Berhad, melalui anak syarikatnya Nylex Holdings Sdn Bhd, menandatangani terma tidak mengikat untuk menjual sehingga 50% saham dalam Maxlive Sdn Bhd kepada Topnext International Company Limited dari Thailand, dengan nilai tunai AS$18.6 juta (kira-kira RM76.9 juta), sebagai sebahagian daripada strategi penyusunan semula perniagaan.
Dalam kenyataan hari ini, Ancom Nylex memaklumkan Maxlive merupakan syarikat tujuan khas yang ditubuhkan bagi melaksanakan cadangan pelupusan tersebut.
Di bawah penstrukturan semula ini, Ancom Nylex akan menyuntik keseluruhan pegangan ekuitinya dalam enam anak syarikat ke dalam Maxlive iaitu Perusahaan Kimia Gemilang Sdn Bhd, Ancom Kimia Sdn Bhd, Dynamic Chemical Pte Ltd, Ancom Nylex Terminals Sdn Bhd, One Chem Terminal Sdn Bhd dan CKG Chemicals Pte Ltd.
Topnext, yang diperbadankan pada 2008 di Thailand, terlibat dalam pembelian borong, penjualan dan pengedaran pelarut, bahan kimia, produk petroleum serta bahan kimia lain dan merupakan anak syarikat kepada Thai Oil Solvent Company Limited, yang berada di bawah Thai Oil Public Company Limited, pengendali kompleks penapisan utama di Thailand.
Naib Pengerusi Eksekutif Ancom Nylex, Datuk Siew Ka Wei berkata cadangan transaksi tersebut dibuat pada masa yang sesuai ketika kumpulan menyesuaikan strategi perniagaan susulan keadaan mencabar dalam sektor bahan kimia perindustrian.
“Langkah ini meletakkan syarikat pada kedudukan yang lebih baik untuk menyusun semula struktur operasi dan menilai semula keupayaan produk ketika pasaran memasuki fasa kitaran seterusnya,” katanya.
Menurut beliau, penyatuan aktiviti pengedaran bahan kimia perindustrian dan operasi terminal tangki di bawah satu entiti akan membentuk struktur operasi yang lebih tersusun serta menyokong kecekapan peruntukan sumber dan keperluan pelanggan.
Menurut beliau, urus niaga itu membuka laluan kepada kerjasama strategik bersama Topnext untuk meneroka peluang pasaran yang lebih luas di peringkat serantau.
“Kerjasama ini juga menyediakan asas kepada potensi kolaborasi masa hadapan dalam perniagaan produk kimia di rantau ini,” katanya.
Selepas keseluruhan cadangan transaksi dimuktamadkan, Ancom Nylex dijangka terus mengekalkan kawalan ke atas Maxlive berdasarkan struktur tadbir urus yang dipersetujui dan keputusan kewangan Maxlive akan terus disatukan dalam penyata kewangan kumpulan.
Menurut syarikat itu, Hasil pelupusan bernilai RM76.9 juta itu akan digunakan bagi modal kerja, pembayaran balik pinjaman serta tujuan korporat umum.
Perjanjian muktamad antara Nylex dan Topnext akan dimeterai pada tarikh yang akan ditentukan kemudian, tertakluk kepada terma serta syarat yang dipersetujui kedua-dua pihak. - DagangNews.com








