Anak Syarikat IHH tuntut pampasan RM5.7 bilion daripada Daiichi Sankyo berkaitan pembelian saham Fortis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak Syarikat IHH tuntut pampasan RM5.7 bilion daripada Daiichi Sankyo berkaitan pembelian saham Fortis

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Feb - Anak syarikat IHH Healthcare Bhd, Northern TK Venture (NTK) menuntut ganti rugi sebanyak RM5.7 bilion daripada pengeluar ubat Jepun, Daiichi Sankyo Co Ltd, berikutan pembelian pegangan saham IHH dalam Fortis Healthcare di India.

 

Menurut IHH, pada Oktober 2023, NTK mengemukakan tuntutan terhadap Daiichi Sankyo dengan mendakwa syarikat itu menghalang NTK daripada meneruskan tawaran terbuka untuk memperoleh pegangan saham dalam Fortis Healthcare pada tahun 2018.

 

Katanya, ketika itu, NTK meminta tuntutan awal sebanyak RM653 juta daripada Daiichi Sankyo sebagai ganti rugi pada November 2023, bersama dengan faedah pada kadar 3% setahun.

 

 

"Bagaimanapun, setelah laporan disediakan oleh perunding yang dilantik oleh NTK, Osborne Partners, kumpulan itu menyatakan bahawa jumlah pampasan yang dituntut adalah antara RM200 juta hingga RM5.7 bilion, bergantung kepada faktor-faktor relevan yang diambil kira," menurut pemfailan IHH dengan Bursa Malaysia.

 

Syarikat itu berkata, laporan berkenaan telah diserahkan kepada Mahkamah Daerah Tokyo, semalam.

 

"NTK mengekalkan haknya untuk meminda tuntutan ganti rugi, termasuk menambah kategori kerugian lain dan/atau menuntut kos yuran guaman daripada Daiichi Sankyo," tambah IHH.

 

Pada Ogos 2018, IHH membeli pegangan kawalan sebanyak 31.1% dalam Fortis Healthcare dengan nilai RM2.4 bilion, yang mencetuskan tawaran terbuka untuk memperoleh 26% lagi saham Fortis dari pasaran.

 

Bagaimanapun, pada Disember tahun sama, IHH membatalkan tawaran terbuka untuk membeli pegangan tambahan 26% dalam Fortis Healthcare selepas keputusan mahkamah mengarahkan status quo dikekalkan berkaitan penjualan pegangan kawalan dalam Fortis Healthcare kepada NTK, susulan pemfailan permohonan penghinaan Daiichi Sankyo terhadap pengasas Fortis Healthcare, Malvinder Mohan Singh dan Shivinder Mohan Singh.

 

IHH gagal meneruskan tawaran terbuka tersebut, yang sepatutnya memberi mereka pegangan sehingga 56% dalam Fortis, atau mengambil alih Fortis Malar Healthcare Ltd.

 

Pertikaian antara pengasas Fortis Healthcare dan Daiichi Sankyo berpunca daripada tindakan adik-beradik Mohan Singh yang menyembunyikan maklumat bahawa syarikat farmaseutikal mereka, Ranbaxy, sedang disiasat oleh pihak berkuasa AS ketika mereka menjual saham Ranbaxy kepada Daiichi Sankyo. - DagangNews.com