Amir Hamzah sokong GST diperkenalkan semula tetapi mahu kesediaan rakyat diberi keutamaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Amir Hamzah sokong GST diperkenalkan semula tetapi mahu kesediaan rakyat diberi keutamaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Julai — Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berpendapat, tiada salah dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), namun diperkenalkan semula bukan keutamaan.


Beliau menyifatkan GST sebagai sistem cukai 'teguh dan telus, dengan kerajaan turut mengiktiraf meritnya tetapi mengambil kira masa dan kesediaan negara diperlukan untuk membawanya kembali.


Katanya, berbeza Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), GST ialah cukai nilai tambah membolehkan perniagaan menuntut kredit cukai, satu ciri mencegah ketirisan dan memastikan sistem saksama.


"GST sesuai dengan julat luas sistem jauh lebih baik daripada SST dengan mewujudkan persekitaran untuk perniagaan boleh beroperasi secara lebih ketelusan dan bertanggungjawab," kata Amir Hamzah.


Tambahnya, GST bersesuaian dengan sistem percukaian Malaysia, namun mengembalikannya bukan mengenai dasar kerana ia bergantung kepada pelaksanaan, infrastruktur dan kesediaan rakyat sendiri.


Sejak GST dibatalkan pada 2018, beliau berkata, banyak perniagaan telah beralih kepada sistem baharu SST, sambil menambah bahawa peralihan balik tidak akan berlaku dengan begitu cepat.


"Untuk kembali kepada GST, ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun mengemas kini sistem dan memastikan perniagaan bersedia serta kita ada keutamaan lain yang mendesak," jelasnya.


Buat masa ini, Amir Hamzah berkata kerajaan mengutamakan usaha untuk meringankan beban kewangan rakyat, khususnya ketika peningkatan kos sara hidup, berbanding pembaharuan cukai yang besar.


"Salah satu objektif utama adalah meletakkan banyak kekayaan dalam tangan rakyat. Meningkatkan daya tahan kewangan mereka adalah penting sebelum sistem baharu dikenakan balik," katanya.


Beliau menambah. jurang pendapatan merentasi segmen penduduk kekal kebimbangan serius, dan jika GST diperkenal semula terlalu awal secara tidak adil membebankan isi rumah berpendapatan kecil.


Amir Hamzah seterusnya merumuskan bahawa walaupun GST kekal sebagai sistem unggul dalam aspek percukaian, namun pulangannya nanti mesti selaras dengan kesediaan ekonomi negara.


"Buat masa ini, ia bukan masa yang sesuai. Kita mesti fokus memajukan rakyat kita terlebih dahulu dan mengukuhkan kesihatan kewangan mereka sebelum kembali kepada GST," katanya. - DagangNews.com