KUALA LUMPUR 10 Jun - AME Elite Consortium Bhd menyasarkan jualan lebih sederhana sebanyak RM400 juta untuk FY26, berikutan ketidaktentuan dasar perdagangan global yang boleh melambatkan pelaburan asing.
Sasaran lebih berhati-hati itu mencerminkan keadaan pasaran semasa, walaupun Taman Perindustrian Northern TechValley syarikat tersebut mencatatkan jualan RM56 juta pada 4QFY25, menjadikan jumlah jualan tahunan RM641 juta.
Permintaan awal kebanyakannya datang daripada syarikat tempatan dalam sektor berkaitan pengguna.
Phillip Capital berkata, AME menjangka momentum jualan akan bertambah baik apabila kerja-kerja infrastruktur bermula pada separuh kedua tahun ini.
"AME Elite juga akan terus memberikan tumpuan untuk mengembangkan nilai pembangunan kasar (GDV) dengan pembelian tanah di Ijok, Selangor.
"Projek taman perindustrian di lokasi itu dengan anggaran GDV antara RM1.2 bilion hingga RM1.3 bilion, dijalankan bersama Kuala Lumpur Kepong Bhd dan dijangka siap pada separuh kedua tahun ini," kata Phillip Capital dalam satu nota kajian.
Selain itu, AME dijangka merekodkan pendapatan hasil daripada jualan tanah bernilai RM210 juta kepada pengendali pusat data, Digital Hyperspace Malaysia Sdn Bhd, pada separuh pertama 2026, tertakluk kepada bayaran akhir oleh pelanggan menjelang Ogos ini.
Pelanggan tersebut memberi komitmen untuk menyelesaikan transaksi dan telah membayar deposit RM35 juta serta faedah.
AME Elita dijangka merekodkan keuntungan sebanyak RM85 juta dari transaksi berkenaan.
Phillip Capital juga mengulangi saranan 'beli' ke atas saham AME dengan sasaran harga kekal RM2 sesaham. - DagangNews.com








