KUALA LUMPUR 30 Julai — Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen menggesa kerajaan mengkaji semula ambang bagi e-invois mandatori terutamanya kepada perniagaan berskala mikro.
Ia turut memberi amaran bahawa pelaksanaan had pendapatan semasa ketika ini adalah terlalu rendah dan berisiko meletakkan beban pematuhan yang tidak wajar kepada bentuk perniagaan kecil tersebut.
Selain itu, PAC menyatakan kebimbangan keperluan e-invois untuk Fasa 4 yang akan diwajibkan pada 2026 serta dikenakan ke atas perniagaan yang berpendapatan RM150,000 setiap tahun dan ke atas.
"Ambang tersebut sebenarnya masih tidak mencukupi untuk menghadapi cabaran di lapangan yang dialami oleh para peniaga kecil," kata jawatankuasa itu dalam laporannya yang diterbitkan pada hari ini.
Menerusi laporan susulan mengenai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), PAC mengesyorkan kerajaan menaikkan ambang atau mengecualikan usahawan mikro daripada keperluan sehingga mereka bersedia.
Tambahnya, kerajaan telah menghentikan sementara rancangan untuk mengenakan invois mandatori bagi mereka berpendapatan tahunan di bawah RM500,000, yang mulanya dirancang untuk bermula pada 2026.
Perusahaan mikro menurut definisi SME Corp Malaysia katanya, merupakan syarikat yang mempunyai perolehan jualan kurang daripada RM300,000, atau menggaji kurang lima pekerja sepenuh masa.
“PAC percaya ambang pendapatan untuk e-invois mandatori tidak harus membebankan perniagaan mikro dan mesti mencerminkan realiti dihadapi oleh rakyat yang beroperasi pada skala terkecil,” katanya.
Dalam pada itu, PAC mengalu-alukan langkah penangguhan, dengan menyatakan bahawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana memerlukan masa dan sumber yang mencukupi untuk beralih kepada invois digital.
Jadual terkini diterbitkan LHDN katanya, menyaksikan jualan RM1 juta hingga RM5 juta menerima pakai e-invois mulai Januari 2026 manakala jualan RM500,000 hingga RM1 juta setahun mulai Julai 2026.
LHDN melaporkan bahawa sejak dilancarkan pada Ogos 2024, lebih 283 juta e-invois telah pun dihantar dan disahkan agensi berkenaan, melibatkan seramai hampir 29,000 pembayar cukai di seluruh negara.
Sistem e-POS MyInvois secara percuma telah diperkenalkan pada Mac 2025 untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana mengguna pakai sistem baharu tersebut tanpa dikenakan langsung sebarang kos.
Sesi susulan PAC diadakan pada 21 Mei 2025, yang dipengerusikan oleh Teresa Kok (PH–Seputeh), merupakan sebahagian daripada pengawasan jawatankuasa itu terhadap pembaharuan kutipan cukai.
Ini meliputi usaha bagi mengurangkan akaun belum terima, berjumlah RM34.6 bilion pada 2023, turun 14.3% daripada RM40.39 bilion pada 2022, terutama disebabkan oleh hapus kira semasa tahun semasa.
Jawatankuasa tersebut berkata, penemuan itu berdasarkan kepada Laporan Ketua Audit Negara Siri 3/2024 mengenai Penyata Kewangan 2023 Kerajaan Persekutuan. - DagangNews.com








