KUALA LUMPUR 12 Nov – AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) melancarkan program Nota Jangka Sederhana (MTN) bernilai RM2 bilion di bawah Kerangka Lodge and Launch (LOLA) bagi memperkukuh kedudukan kewangan serta menambah fleksibiliti modal untuk pertumbuhan masa hadapan.
Program jangka panjang ini membolehkan AmanahRaya REIT menerbitkan nota dari semasa ke semasa dengan jumlah keseluruhan sehingga RM2.5 bilion, bagi menyokong strategi pembiayaan semula, pengambilalihan baharu dan inisiatif penambahbaikan aset dalam portfolionya.
Public Investment Bank Berhad dilantik sebagai Penasihat Utama, Pengatur Utama dan Pengurus Utama bagi program MTN berkenaan.
Pengarah Urusan AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd, Datuk Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, pelancaran program tersebut merupakan langkah penting dalam strategi pengurusan modal AmanahRaya REIT.
“Pelancaran program MTN ini akan memperkukuh kedudukan kewangan kami serta memberikan lebih fleksibiliti dalam membiayai pertumbuhan masa depan, termasuk potensi pengambilalihan aset baharu dan inisiatif penambahbaikan portfolio,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, langkah itu juga sejajar dengan komitmen AmanahRaya REIT untuk terus memberikan pulangan mampan kepada pemegang unit serta mengekalkan kestabilan jangka panjang dalam pasaran hartanah dan pelaburan tempatan. - DagangNews.com








