KUALA LUMPUR 2 Julai — Alibaba Group Holding Ltd akan menambah pusat data baharu di Malaysia dan Filipina, dalam usaha meraih pertumbuhan perkhidmatan awan dijana oleh kecerdasan buatan (AI).
Unit awan syarikat yang berpangkalan di Hangzhou itu bakal melancarkan pusat data ketiga di Malaysia minggu ini, di samping merancang untuk membuka pusat data kedua di Filipina pada Oktober 2025.
Selain itu, Alibaba Cloud juga berkata, ia melancarkan pusat kecekapan global di Singapura selaras dengan perancangannya untuk membantu dalam mempercepatkan penggunaan AI yang merentas industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba Group, Eddie Wu berkata, pusat berkenaan akan berupaya membantu lebih 5,000 perniagaan dan 100,000 pemaju untuk dapat mengakses model AI versi yang paling maju.
"Globalisasi merupakan strategi jangka panjang Alibaba Cloud," katanya menerusi mesej video yang dirakam pada acara syarikat berkenaan di Singapura hari ini dan kemudian dipetik oleh Bloomberg.
Alibaba tambah beliau, juga akan mempercepatkan pembinaan rangkaian awan globalnya di China, Jepun, Korea Selatan, serta rantau Asia Tenggara, Timur Tengah, Eropah dan Amerika dalam tempoh tiga tahun.
Eddie di samping itu turut mengulangi komitmen kumpulan berkenaan untuk membelanjakan lebih AS$53 bilion (kira-kira RM223.3 bilion) bagi pembangunan infrastruktur AI termaju dalam tempoh tersebut.
Ia yang terkenal dengan operasi e-dagangnya di China, telah menyerap ke dalam AI, dengan membina tawaran kendiri di sekitar pelbagai model Qwen AI kendaliannya, dan mengembangkan perkhidmatan awan.
Dalam masa yang sama, Alibaba juga kata beliau, telah mengumumkan pelbagai pelaburan infrastruktur yang berpotensi dibangunkan kumpulan tersebut di Thailand, Mexico dan Korea Selatan.
Pada Februari 2025, Eddie mengisytiharkan objektif utama syarikat itu ialah AI berikutan kemunculan DeepSeek di seluruh dunia, dengan matlamat membina sistem berkeupayaan intelektual setaraf manusia. - DagangNews.com








