Al-Aqar REIT bakal peroleh sewa tahunan RM15 juta daripada pajakan bahru hospital KPJ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Al-Aqar REIT bakal peroleh sewa tahunan RM15 juta daripada pajakan bahru hospital KPJ

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Al-Aqar Healthcare Real Estate Investment Trust (Al-Aqar REIT) bakal memperoleh lebih daripada RM15 juta dalam pendapatan sewa asas tahunan menerusi perjanjian pajakan jangka panjang baharu dengan KPJ Healthcare Bhd.

 

Ia susulan cadangan mereka untuk memperoleh dua bangunan baharu di hospital KPJ di Ampang dan Pulau Pinang yang bernilai keseluruhan RM241 juta.

 

Perjanjian pajakan selama 15 tahun itu, yang merangkumi hartanah di KPJ Ampang Puteri dan KPJ Pulau Pinang, akan bermula sebaik sahaja pembelian bernilai RM131 juta dan RM110 juta diselesaikan.

 

Kedua-dua hartanah tersebut akan dipajak semula kepada pengendali sedia ada melalui kontrak berstruktur yang merangkumi kenaikan sewa tetap dan semakan sewa berdasarkan nilai pasaran semasa.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Al-Aqar REIT berkata, sewa asas untuk tahun pertama bagi bangunan di Ampang adalah RM8.19 juta, manakala bangunan di Pulau Pinang akan menyumbang RM6.88 juta — menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM15.07 juta setahun.

 

Bagi tahun kedua dan ketiga, sewa akan meningkat sebanyak 2% setiap tahun.

 

Bermula tahun keempat dan seterusnya, sewa akan tertakluk kepada semakan berkala berdasarkan nilai pasaran terbuka tetapi dihadkan pada kadar kenaikan tahunan maksimum 2%

 

"Sebarang pelarasan terhadap sewa tidak boleh melebihi kenaikan 2% berbanding sewa tahun sebelumnya,” menurut kenyataan itu, sambil menambah, kedua-dua perjanjian pajakan disertakan dengan pilihan pembaharuan selama 15 tahun lagi.

 

Pemegang unit akan mengundi cadangan tersebut dalam mesyuarat agung luar biasa yang dijadualkan pada 25 Jun ini di Johor Bahru.

 

Jika diluluskan, urus niaga itu akan meningkatkan profil pendapatan berulang Al-Aqar REIT tanpa memberi kesan material kepada nilai aset bersih (NAV) seunit.

 

“Cadangan pengambilalihan ini dijangka tidak memberi kesan material terhadap NAV seunit Al-Aqar REIT,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com