Aktiviti perindustrian Malaysia dijangka kekal kukuh hingga 2026 – Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aktiviti perindustrian Malaysia dijangka kekal kukuh hingga 2026 – Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Dis - Aktiviti perindustrian Malaysia dijangka meneruskan momentum pertumbuhannya dalam beberapa suku akan datang, disokong oleh persekitaran sektor pembuatan yang semakin kukuh, meskipun berdepan risiko luaran yang masih berlarutan.

 

Prospek positif itu turut disokong prestasi sektor perindustrian yang lebih baik daripada jangkaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan unjuran menunjukkan industri masih mempunyai ruang untuk terus berkembang sehingga tahun 2026.

 

Kenanga Research berkata, pertumbuhan sektor pembuatan pada 2025 berpotensi melebihi unjuran firma itu sebanyak 3.9% berbanding 4.3% pada 2024, didorong momentum berterusan khususnya daripada segmen elektrik dan elektronik (E&E) yang kekal berdaya tahan.

 

 

 

 

 

 

Menurut firma penyelidikan itu, output pembuatan berkembang 4.3% dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, mengatasi anggaran dalaman, sekali gus mencerminkan prestasi sektor yang lebih kukuh daripada jangkaan awal.

 

“Momentum dijangka berterusan dalam jangka terdekat memandangkan penunjuk frekuensi tinggi menunjukkan aktiviti pembuatan yang semakin meningkat,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Kenanga Research berkata, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan bagi November kembali mencatat pengembangan pada paras 50.1, menandakan momentum pembuatan domestik yang kukuh, walaupun terdapat kebimbangan terhadap kesan tarif lebih tinggi Amerika Syarikat.

 

Sokongan kepada sektor itu, menurutnya, turut dipacu oleh beberapa faktor termasuk perjanjian Transformasi Hasil Dipercepatkan Amerika Syarikat–Malaysia, hubungan Amerika Syarikat–China yang semakin baik, serta permintaan global yang kukuh terhadap produk E&E berkaitan kecerdasan buatan (AI), teknologi 5G dan kenderaan elektrik (EV).

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap persekitaran global, dengan menyatakan PMI pembuatan global susut sedikit kepada 50.5 pada November berbanding 50.9 pada Oktober, susulan perdagangan antarabangsa yang lebih perlahan.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata prestasi domestik kekal memberangsangkan apabila Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia bagi Oktober mencatat pertumbuhan terkuat sejak September 2022.

 

 

 

 

 

 

HLIB berpandangan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi global, disokong oleh struktur ekonomi yang pelbagai serta permintaan domestik yang berdaya tahan.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75% sehingga akhir 2026. - DagangNews.com