AirBorneo sasar tambah 14 pesawat baharu ke dalam armada – Kapten Wan Mohd Ali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirBorneo sasar tambah 14 pesawat baharu ke dalam armada – Kapten Wan Mohd Ali

AirBorneo akan meneruskan peranan MASwings menghubungkan kawasan pendalaman dengan bandar utama di Sarawak. - Gambar DagangNews.com
Eksklusif DagangNews Oleh ZAKARIA ABDUL MANAN

KUCHING 18 Feb - Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo bakal memperoleh antara 10 hingga 14 pesawat tambahan merangkumi AirBus 220, Boeing 737 NG dan Embraer Aircoraft, kata Kapten Wan Mohd Ali Wan Abdullah.

 

Beliau yang merupakan CEO Hornbill Skyways Sendirian Berhad, adalah antara pegawai kanan mewakili kerajaan Sarawak merundingkan pengambilalihan MASwings yang telah dimuktamadkan pada 12 Februari lalu.

 

AirBorneo mengambil alih armada 14 pesawat MASwings, terdiri daripada lapan ATR72-500, serta enam De Havilland Canada DHC-6 Twin Otters.

 

 

Dari habnya di Kota Kinabalu dan Miri di negeri Sarawak, syarikat penerbangan itu terbang terutamanya ke destinasi serantau dan luar bandar. MASwings dilancarkan pada 2007 dengan tujuan menghubungkan masyarakat luar bandar di timur Malaysia.

 

Operasi penuh AirBorneo dijangka bermula awal tahun 2026.

 

“Tambahan pesawat baharu itu kelak akan menjadi nadi di dalam operasi AirBorneo yang bukan sahaja menghubungi destinasi di dalam negeri, tetapi juga negara serantau buat permulaan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama DagangNews.com di Kuching.

 

 

Kapten Wan Mohd Ali Wan Abdullah
                     Kapten Wan Mohd Ali Wan Abdullah

 

 

Kapten Wan Mohd Ali berkata, tidak dinafikan juga, antara kos paling tinggi yang akan menjadi tumpuan pelaksanaan AirBorneo kelak ialah kos penyelenggaraan pesawat.

 

“Berdasarkan pengalaman, kos penyelenggaraan merupakan kos tertinggi.

 

“Untuk ini, satu jalinan kerjasama telah diwujudkan di antara Hornbill Skyways dan Airod Sendirian Berhad untuk kerja Penyelenggaraan, Pembaikian dan Baik pulih (MRO) pesawat.

 

Menurut beliau, dengan adanya penyertaan syarikat tempatan yang bertaraf antarabangsa ini akan memudahkan lagi kos peyelenggaraan.

 

Rangkaian kerjasama ini nanti bukan saja merupakan satu jalinan gerak kerja yang efisien tetapi ia juga manifestasi kesungguhan daya tempatan yakni anak Sarawak yang telah menempa kejayaan antarabangsa dalam industri aviasi, tambah beliau.  

 

Apa untung ada AirBorneo?

Namun terdapat persoalan mengenai keperluan AirBorneo, antaranya, apakah kepentingan sebenar bagi rakyat Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri, sedangkan MAS dan AirAsia dilihat menanggung beban kewangan besar?

 

Mengulas persoalan tersebut, Kapten Wan Mohd Ali berkata, selama ini rakyat Sarawak sering berhadapan kesulitan demi kesulitan sama ada yang menyentuh kadar tambang tidak menentu, rangkaian hubungan udara ke pendalaman dan serantau yang tidak menyeluruh serta connectivity luar negara yang hampir tiada.

 

“AirBorneo mahu menangani masalah ini. Justeru, pencapaian ini adalah sangat besar maknanya!,” ujar Kapten Wan Mohd Ali.

 

“Inilah masa paling tepat untuk kita mengubah keadaan dahulu yang serba mencabar harga diri kita, menjadi sesuatu yang akan mendatangkan kebaikan terutama kepada rakyat Sarawak,” kata beliau.

 

 

MASwings

 

 

Kapten Wan Mohd Ali juga optimis untuk AirBorneo muncul sebagai sebuah syarikat penerbangan butik yang berjaya walaupun berhadapan persaingan sengit low cost carrier lain seperti AirAsia, Batik Air, Malindo Air dan Firefly.

 

Kerajaan Persekutuan bersetuju mengekalkan subsidi seperti yang diperuntukkan kepada MASwings sebelum ini yang berjumlah RM200 juta. Justifikasi ini disebabkan jangkauan AirBorneo nanti bukan setakat meliputi wilayah negeri Sarawak tetapi juga mencakupi keluasan negeri Sabah.

 

Berdasarkan unjuran terdahulu, kos operasi MASwings adalah sekitar RM150 juta sehingga RM250 juta setahun. Dengan jumlah subsidi yang sigifikan itu akan pasti membantu pelaksanaan pengurusan AirBorneo kelak.

 

Namun demikian, tidak juga bermaksud untuk bergantung sepenuhnya pada subsidi. Prospek urus niaga seterusnya seperti perolehan daripada waran perjalanan kakitangan Kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia ke serata pelosok negara yang dijangka bernilai jutaan ringgit juga merupakan manfaat yang boleh dijangkakan.

 

“Memang seperti yang ditegaskan oleh Premier Sarawak, pada awalnya AirBorneo tidak menyasarkan keuntungan,“ tegas Kapten Wan Mohd Ali.

 

“Dalam jangka masa panjang, apabila kita sudah mampu meningkat kesalinghubungan terutama di rantau BIMP-EAGA dan apabila aset seperti pesawat dan prasarana lapangan terbang kita semakin baik maka prospek pasarannya akan pasti menjanjikan suatu peningkatan,” tambah beliau.

 

 

MASwings

 


Selama ini tidak diketahui banyak tentang industri penerbangan di Sarawak, namun lembaran demi lembaran semakin terbuka kini.

 

Menerusi AirBorneo, jalinan akan terus mencantum dengan beberapa gagasan lain seperti perintisan aeroangkasa serta pembinaan lapangan terbang baharu yang ultra-moden akan pasti mencetuskan satu set pembangunan negeri terutamanya kepada industri penerbangan negeri. - DagangNews.com