AirBorneo komited kekalkan tambang perkhidmatan luar bandar pada kadar berpatutan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirBorneo komited kekalkan tambang perkhidmatan luar bandar pada kadar berpatutan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Dis - AirBorneo menegaskan komitmennya untuk mengekalkan tambang penerbangan yang adil dan berpatutan bagi semua laluan di bawah rangkaian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (Rural Air Services, RAS) menjelang permulaan operasi penuh syarikat itu susulan pengambilalihan MASwings.

 

Dalam satu kenyataan, AirBorneo berkata semua laluan yang dikendalikan pada fasa awal operasi adalah sepenuhnya di bawah rangkaian RAS, sama seperti laluan sedia ada MASwings yang meliputi Sarawak, Sabah dan Labuan.

 

Menurut AirBorneo, struktur tambang yang ditetapkan mengambil kira kesinambungan dan kelestarian operasi, sejajar dengan subsidi yang disediakan melalui perjanjian obligasi perkhidmatan awam bersama Kerajaan Persekutuan, atau dikenali sebagai Perjanjian RAS.

 

“Tiada peningkatan tambang dikenakan bagi mana-mana laluan AirBorneo berbanding tambang MASwings sebelum ini,” kata kenyataan itu.

 

Kenyataan itu menambah matlamat utama Perjanjian RAS adalah untuk mengekalkan tambang pada paras munasabah yang mengimbangi keperluan kebolehcapaian rakyat dengan kelestarian operasi syarikat penerbangan.

 

Mengulas hala tuju seterusnya, AirBorneo berkata syarikat akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan serta menilai pilihan lain bagi memastikan tambang penerbangan terbaik dapat ditawarkan kepada penumpang di Malaysia Timur.

 

Sebarang pelarasan tambang, katanya, hanya akan dilaksanakan selepas perjanjian RAS baharu dimuktamadkan bersama kerajaan.

 

Bagi laluan bukan RAS yang dirancang untuk diperkenalkan pada masa hadapan, AirBorneo berkata pihaknya sedang membangunkan strategi harga mampu milik yang mengambil kira kos operasi di samping menawarkan nilai tambah, kesalinghubungan, kebolehpercayaan serta ketepatan masa kepada pelanggan.

 

Sebagai perkembangan terkini, laman web tempahan AirBorneo telah dilancarkan pada 10 Disember lalu, dengan jualan tiket dibuka bermula 14 Januari 2026.

 

Langkah itu selari dengan pengambilalihan sah dan operasi MASwings oleh AirBorneo Holdings Sdn Bhd yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. - DagangNews.com