KUALA LUMPUR 5 Dis - AirAsia X Bhd (AAX) menyasarkan untuk mengukuhkan jejak globalnya dengan meneroka pasaran baharu, menambah saiz armada dan memasuki bandar tier dua tahun depan berikutan permintaan perjalanan antarabangsa yang terus meningkat.
Ketua pegawai eksekutifnya, Benyamin Ismail, berkata Istanbul, yang kini berada di kedudukan keempat antara bandar paling banyak dilawati di dunia, memainkan peranan strategik dalam rancangan peluasan rangkaian syarikat penerbangan itu.
“Tumpuan kami untuk dua tahun akan datang adalah untuk berkembang ke bandar tier dua dalam lingkungan empat hingga lima jam penerbangan, di mana pesawat badan lebar tidak diperlukan. Asia Tengah kekal sebagai pasaran utama, dengan Eropah menjadi destinasi seterusnya,” katanya kepada BERNAMA dalam satu temu bual baru-baru ini.
Benyamin berkata kedua-dua rantau itu “menunjukkan potensi masa depan yang kukuh,” sambil menambah bahawa pendekatan berhati-hati syarikat penerbangan itu direka untuk memastikan pertumbuhan yang mampan.
Ketika industri penerbangan global terus pulih secara stabil, Benyamin berkata AAX berada pada kedudukan baik untuk meraih permintaan baharu, mengukuhkan hubungan perjalanan timur-barat dan berkembang secara bertanggungjawab di seluruh rangkaiannya.
“Dengan rangkaian 130 destinasi, kami percaya kami mempunyai banyak tawaran. Pada masa yang sama, hubungan ke Asia dari rantau ini masih terhad. Kehadiran kami di sini membuka peluang kepada pengembara dari Türkiye untuk meneroka Malaysia, Asia Tenggara, ASEAN dan Asia-Pasifik secara lebih meluas,” katanya.
Pada 14 Nov 2025, AAX melakukan penerbangan sulung ke Istanbul, Turkiye, mencatat permintaan kukuh dalam kedua-dua arah, dengan penerbangan keluar dari Kuala Lumpur beroperasi pada kapasiti 81 peratus dan penerbangan pulang hampir 89 peratus.
Mengakui penggunaan bahan api yang lebih tinggi bagi operasi jarak jauh, Benyamin berkata pengurusan kos melangkaui harga bahan api, sambil menegaskan bahawa ia bukan hanya tentang bahan api, tetapi keseluruhan operasi.
“Dari segi pengendalian darat, mencari rakan kongsi yang sesuai, lapangan terbang, kami menawarkan perjanjian komersial yang baik. Semua memainkan peranan. Namun dari segi bahan api, saya fikir harga bahan api adalah relatif sama di mana-mana, jadi walaupun pada laluan lebih jauh, kami tetap yakin dapat menawarkan tambang mampu milik,” katanya.
Mengulas prestasi syarikat penerbangan itu tahun ini, beliau berkata AAX telah melepasi sasaran, dipacu oleh faktor muatan lebih tinggi dan pemulihan kukuh dalam jumlah penumpang.
“Kami telah mengatasi keputusan tahun lalu. Faktor muatan meningkat, dan jumlah penumpang yang dibawa juga meningkat. Strategi pertumbuhan kami dilaksanakan secara berhati-hati, tidak terlalu agresif bagi memastikan kami berkembang pada kadar yang sesuai,” katanya.








