KUALA LUMPUR 24 Feb - Syarikat penerbangan tambang murah, Capital A Bhd sedang mencapai kemajuan ketara dalam cadangan pelupusan perniagaan penerbangan bernilai RM6.8 bilion kepada AirAsia X Bhd dengan semua persetujuan yang diperlukan dijangka diterima menjelang akhir Februari 2025.
Berhubung status Nota Amalan 17 (PN17), kumpulan itu sedang menunggu tarikh mahkamah untuk pengesahan mengenai cadangan pengurangan modalnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Capital A berkata, ia akan mengeluarkan sasaran dalaman pada masa hadapan, sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan pelabur.
Sasaran dalaman pertama akan dikeluarkan, di samping keputusan kewangannya bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24), pada 26 Februari 2025.
"Sasaran dalaman Capital A adalah semata-mata aspirasi pengurusan dan tidak membentuk anggaran kewangan, ramalan atau unjuran di bawah piawaian maklumat kewangan masa hadapan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
"Inisiatif ini, sejajar dengan peraturan Bursa Malaysia, bertujuan menyediakan pemegang saham dan komuniti pelaburan dengan pemahaman yang lebih jelas tentang pandangan kewangan kumpulan," katanya.
Capital A berkata, kumpulan itu berusaha untuk membina keyakinan pelabur melalui pendedahan kewangan yang konsisten dan boleh dipercayai sambil memastikan semua pihak berkepentingan mempunyai maklumat yang diperlukan untuk penilaian yang adil dan munasabah bagi kumpulan itu.
Selain itu, perkongsian sasaran dalaman akan mendorong tanggungjawab dan akauntabiliti yang lebih besar merentas semua jabatan dalam kumpulan, memerlukan pemimpin perniagaan menyediakan belanjawan yang tepat, menetapkan ramalan yang realistik dan memenuhi sasaran kewangan.
Langkah itu juga akan membantu penganalisis kewangan dan pelabur menilai dengan lebih baik prospek perniagaan kumpulan, keadaan operasi dan keuntungan yang dijangkakan, menawarkan keterlihatan yang lebih baik ke dalam strategi jangka panjangnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya akan mengeluarkan sasaran dalaman bersama keputusan kewangan suku tahunan kami, menggariskan andaian utama dan potensi kesannya ke atas sasaran yang dinyatakan sebelum ini.
"Selain itu, kami akan memberikan pandangan tentang faktor pasaran luaran di luar kawalan kami yang mungkin mempengaruhi prestasi kewangan kami, memastikan pasaran kekal bermaklumat tentang landskap perniagaan kami yang semakin berkembang," katanya. - DagangNews.com








