KUALA LUMPUR 13 Jun – Airasia Media menjalin kerjasama strategik dengan Xoomplay Technologies bagi memperkenalkan tablet dalam kenderaan AirAsia.
Inisiatif itu menyediakan saluran pengiklanan berimpak tinggi untuk jenama, selain menambah baik pengalaman perjalanan penumpang.
Ketua AirAsia Media, Mahek Shah berkata, pihaknya sentiasa mencari pendekatan baharu untuk menghubungkan jenama dengan sasaran pengguna yang sesuai.
"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Xoomplay untuk memperkenalkan iklan tablet dalam kenderaan AirAsia Ride.
"Inisiatif ini meluaskan capaian jenama di luar plaform penerbangan, sekali gus membina kesan konsisten jenama di pelbagai peringkat dalam rangkaian perkhidmatan Capital A," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan MOVE merangkap Ketua AirAsia Ride, Ramanathan A.M.N Thiagarajan berkata, kerjasama itu selari dengan usaha menambah baik pengalaman perjalanan penumpang serta membuka peluang nilai baharu kepada rakan niaga.
"Penumpang kini boleh menikmati kandungan terpilih dan hiburan sepanjang perjalanan, manakala syarikat pengiklan pula berpeluang mencapai pengguna di bandar utama seluruh Malaysia," katanya.
Kerjasama tiga pihak antara AirAsia Media, AirAsia Ride, dan Xoomplay dimeterai dalam majlis di Kuala Lumpur, melibatkan Ketua AirAsia Media, Mahek Shah, Ketua Pegawai Kewangan MOVE merangkap Ketua AirAsia Ride, Ramanathan A.M.N Thiagarajan, dan Pengarah Urusan Xoomplay Technologies, Christian Teo.
Pengarah Urusan Xoomplay Technologies, Christian Teo berkata, kerjasama itu membuka peluang luas kepada jenama untuk berhubung dengan pengguna berpotensi tinggi, di samping menambah nilai kepada pengalaman penumpang.
"Kami berharap dapat terus bekerjasama rapat untuk membantu jenama memaksimumkan capaian mereka," ujarnya.
Selain iklan dalam kenderaan, AirAsia Media turut menawarkan pelbagai rumusan pengiklanan berasaskan data merangkumi aplikasi MOVE, media dalam penerbangan pesawat AirAsia, dan saluran lain di seluruh ASEAN.- DagangNews.com








