AI beretika, berteraskan nilai adalah penting untuk masa depan ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AI beretika, berteraskan nilai adalah penting untuk masa depan ASEAN

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Negara-negara ASEAN perlu bersatu dalam membentuk kecerdasan buatan (AI) yang mencerminkan budaya, kepelbagaian dan nilai bersama rantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, blok seramai 700 juta penduduk itu berada dalam kedudukan unik untuk membangunkan AI yang bukan sahaja canggih, tetapi juga inklusif, beretika dan berakar pada tradisi Asia Tenggara.

 

“Dengan kepelbagaian budaya dan bahasa yang luar biasa, ASEAN mempunyai peluang generasi untuk memimpin dalam membentuk AI yang merapatkan jurang pembangunan, memperkasa perusahaan kecil, mengangkat komuniti luar bandar, memperkukuh perkhidmatan awam, serta memperluas akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan keadilan untuk semua,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025.

 

 

bas

 

 

Anwar berkata rantau ini mesti “berani dan berprinsip” dalam memastikan AI berkhidmat untuk kepentingan awam, sambil menambah bahawa kejayaan tidak seharusnya diukur pada tahap kecanggihan teknologi semata-mata, tetapi pada keupayaannya memperbaiki kehidupan secara bermakna dengan cara yang mampan dan adil.

 

Kerangka yang digariskan memberi tumpuan kepada dasar berpandangan jauh, tenaga kerja celik digital, infrastruktur selamat, kepercayaan digital dan pelaburan strategik.

 

“Ia bukan sekadar peta jalan. Ini adalah sebuah gerakan,” tegasnya.

 

“Jika dahulu, lebuh raya dan pelabuhan memacu kebangkitan ekonomi kita.

 

“Kini, kita akan membina lebuh raya pintar, saluran data yang selamat, bakat masa depan, serta pagar etika untuk AI. Kita akan mencapainya bersama-sama, dengan kesatuan, tekad dan keazaman yang tidak tergugat.”

 

Sidang kemuncak dua hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur itu dianjurkan oleh Kementerian Digital.

 

Turut hadir ialah Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Bakar; Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn; serta para delegasi ASEAN bersama pakar global dan pemain industri.


 

PMX

 


Acara itu turut menyaksikan pelancaran ILMU 1.0, platform AI berdaulat Malaysia yang merupakan singkatan kepada Intelek Luhur Malaysia Untukmu, iaitu model bahasa besar (LLM) tempatan yang dibangunkan oleh YTL AI Labs.

 

Dibina untuk memahami dan memproses teks, suara dan imej, ILMU 1.0 memberi penekanan kuat terhadap konteks tempatan, etika dan keselamatan.

 

Versi pertama, ILMU 0.1, telah dilancarkan pada Disember 2024 dan mengatasi LLM global terkemuka dalam penanda aras bahasa Melayu, malah lulus peperiksaan kebangsaan PT3 dan SPM dengan gred cemerlang. - DagangNews.com