Ahmad Harzimi dilantik sebagai CEO baharu Encorp ganti Hazurin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ahmad Harzimi dilantik sebagai CEO baharu Encorp ganti Hazurin

Ahmad Harzimi Mohd Taib. Gambar/Encorp Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Jun - Encorp Bhd, anak syarikat tidak langsung Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), melantik Ahmad Harzimi Mohd Taib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.

 

Ahmad Harzimi menggantikan Hazurin Harun yang dipecat pada Disember tahun lalu. 

 

Sebelum itu, Hazurin digantung tugas pada Ogos 2024 dan kemudiannya didakwa atas dua pertuduhan pecah amanah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada November 2024. 

 

Susulan dakwaan itu, lembaga pengarah Encorp menjalankan siasatan dalaman yang membawa kepada pemecatan Hazurin.

 

Encorp berkata, Ahmad Harzimi mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang perundangan, tadbir urus dan pembangunan hartanah, merangkumi sektor awam dan swasta.

 

"Ahmad Harzimi juga pernah terlibat dalam pembangunan Putrajaya, di mana beliau menguruskan rundingan antara kerajaan dan Putrajaya Holdings Sdn Bhd, syarikat utama yang membangunkan bandar itu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebelum menyertai Encorp, beliau bekerja sebagai ketua bahagian undang-undang dan tadbir urus di syarikat hartanah milik Lembaga Tabung Haji, TH Properties Sdn Bhd.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Pengerusi Encorp, Yusmadi Yusoff berkata, pengalaman Ahmad Harzimi dalam undang-undang, tadbir urus dan hartanah selaras dengan hala tuju syarikat dan diyakini mampu menguatkan kepimpinan serta pengurusan Encorp.

 

Sebelum ini, Ketua Pegawai Kewangan Encorp, Kamarul Azman Kamarozaman, memangku jawatan CEO selepas Hazurin dipecat.

 

Encorp kini dimiliki 62.30% oleh anak syarikat milik penuh Felda, Felda Investment Corp Sdn Bhd. - DagangNews.com