KUALA LUMPUR 20 Mei — Aemulus Holdings Berhad memperoleh kontrak baharu bernilai AS$1 juta (kira-kira RM4.3 juta) daripada pelanggan automotif sedia ada yang berpangkalan di Malaysia.
Kontrak berkenaan yang diraih menerusi anak syarikatnya, Aemulus Corporation Sdn Bhd (ACSB) membabitkan tempahan bagi sistem ujian untuk peranti automotif.
Kumpulan tersebut menambah, hasil daripada pesanan baharu ini akan diiktiraf secara progresif sepenuhnya selepas sistem itu selesai dihantar kepada pelanggan berkenaan.
"Pesanan ini dijangka dapat dipenuhi sepanjang tempoh tahun kewangan 2025 dan 2026," kata Aemulus dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia menjangkakan yang pesanan baharu ini menyumbang secara positif kepada hasil syarikat bagi tahun kewangan berakhir 2025 dan tahun kewangan berikutnya.
Aemulus berkata, kontrak berkenaan tidak memberi kesan material kepada aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025.
"Selain itu, ia juga tidak akan memberi sebarang kesan kepada modal saham dan pemegangan struktur Aemulus sendiri," tambahnya. - DagangNews.com








