Accenture beli firma perundingan digital Malaysia, Aristal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Accenture beli firma perundingan digital Malaysia, Aristal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - Accenture berjaya mengambil alih Aristal, sebuah firma perundingan dan transformasi digital yang berpangkalan di Malaysia yang memiliki kepakaran dalam sektor perkhidmatan kewangan. 

 

Pengambilalihan itu merupakan usaha pertama Accenture yang memfokuskan kepada sektor perbankan di Malaysia, mencerminkan langkah strategik memperkukuh keupayaannya dalam transformasi perbankan teras di seluruh Asia Tenggara.

 

Nilai transaksi pengambilalihan itu bagaimanapun tidak didedahkan.

 

Ditubuhkan pada 2006, Aristal telah membina reputasi kukuh dalam melaksanakan projek transformasi IT dan perniagaan berskala besar untuk bank-bank terkemuka di Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Thailand. 

 

Firma itu pakar dalam naik taraf sistem perbankan teras, integrasi selepas penggabungan, dan peningkatan operasi—keperluan penting ketika institusi kewangan di rantau ini berdepan desakan untuk memodenkan infrastruktur dan memenuhi keperluan kawal selia.

 

Pengarah Urusan Negara Malaysia Accenture, Azwan Baharuddin berkata, pengambilalihan itu memperluaskan kumpulan profesional berpengalaman kumpulan di negar aini dan mengukuhkan keupayaan bagi menyokong pelanggan dalam transformasi perbankan teras. 

 

“Ia mencerminkan komitmen kami untuk membangunkan bakat tempatan dan membantu pelanggan memanfaatkan kuasa teknologi, data dan kecerdasan buatan (AI) bagi mentransformasikan cara mereka beroperasi, bersaing, dan berkembang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pasukan 30 perunding kanan Aristal akan menyertai amalan Perkhidmatan Kewangan Accenture di Malaysia. 

 

Penyepaduan itu dijangka mengukuhkan keupayaan Accenture bagi melaksanakan projek transformasi menyeluruh secara berskala, dengan menggabungkan kepakaran khusus Aristal dalam sektor perbankan bersama teknologi global.

 

“Dengan kepakaran mendalam dalam sistem perbankan teras, Aristal telah membantu bank-bank menaik taraf platform lama, menambah baik operasi, dan meningkatkan pengalaman pelanggan—keupayaan yang akan memperkukuh penawaran perkhidmatan kewangan Accenture,” kata Ketua Perkhidmatan Kewangan bagi Asia Tenggara Accenture, Paul Ng. 

 

Perjanjian itu dimeterai ketika sektor perbankan di Asia Tenggara sedang mempercepatkan usaha transformasi digital. Menurut anggaran industri, pasaran global bagi sistem perbankan teras dijangka mencecah AS$28.8 bilion menjelang 2027, dengan Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan ketara sejajar dengan peningkatan aktiviti penggabungan & pengambilalihan serta usaha pemodenan sistem.

 

Mengulas mengenai pengambilalihan tersebut, Pengarah Urusan Aristal, Lin Kok Liong berkata, penyertaan pihaknya ke dalam Accenture membuka peluang yang sangat besar untuk mereka dan menyumbang di peringkat yang lebih tinggi. 

 

"Kami teruja untuk meningkatkan nilai yang kami berikan kepada pelanggan dengan memanfaatkan ekosistem inovasi global Accenture," katanya.- DagangNews.com