KUALA LUMPUR 9 Julai — Kerajaan perlu menurunkan kadar perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selama tempoh dua tahun untuk membantu ramai peniaga dan pengilang yang semakin tertekan.
Gesaan itu disuarakan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) yang memberi amaran mengenai tekanan kos menjelang pelaksanaan tarif 25 peratus Amerika Syarikat (AS).
Kumpulan tersebut berkata, cadangan pengurangan sementara SST itu, dijangka menawarkan kelegaan kepada syarikat yang bergelut isu peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan perdagangan global.
Presiden ACCCIM, Datuk Ng Yih Pyng berkata, gabungan tarif, masalah ekonomi dan pelbagai langkah kos baharu menyebabkan banyak firma tertekan dari segi kewangan dan kurang mampu untuk melabur.
"Tarif baharu, diumumkan Presiden AS, Donald Trump bermula pada 1 Ogos 2025, boleh melembapkan eksport Malaysia dan mencetuskan kesan negatif merentas sektor domestik," katanya dalam kenyataan.
AS selama ini katanya, merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia dan rakan dagangan kedua terbesar, dengan perdagangan dua hala melonjak hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion pada 2024.
Beliau juga menyuarakan sokongan terhadap usaha berterusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mendapatkan perjanjian yang adil dan seimbang melalui penglibatan berterusan dengan AS.
Tambah Yih Pyng, sebarang rundingan mesti mengutamakan kepentingan Malaysia serta melindungi nasib perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang membentuk tulang belakang asas perindustrian negara.
ACCCIM katanya, pernah menyuarakan kebimbangan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta), yang menyifatkan tarif AS itu sebagai 'gempa ekonomi' untuk perniagaan berorientasikan eksport.
Kerajaan juga kata Samemta, wajar menangguhkan kenaikan kos yang dirancang, mempercepatkan bantuan kewangan PKS, dan menangani kekurangan buruh dalam sektor utama seperti perkhidmatan makanan.
Yih Pyng berkata, ACCCIM berdiri teguh di belakang desakan kerajaan untuk rangka kerja perdagangan yang terbuka dan saling menguntungkan, tetapi menegaskan pelarasan dasar domestik amat diperlukan.
"Langkah ini wajar untuk mengurangkan pukulan daripada pelaksanaan tarif AS serta menyerap kesan akibat pelbagai tekanan lain kepada industri perniagaan dan perindustrian," katanya. - DagangNews.com








