90% pemain industri jangka gangguan rantaian bekalan dalam tempoh dua minggu – FMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

90% pemain industri jangka gangguan rantaian bekalan dalam tempoh dua minggu – FMM

Gambar ihsan The Edge

KUALA LUMPUR 6 April – Satu tinjauan oleh Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) mendapati 90 peratus daripada lebih 200 responden menjangkakan gangguan rantaian bekalan dalam tempoh dua minggu akan datang susulan konflik di Asia Barat.

 

Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata beberapa bahan utama yang diperlukan untuk sektor pembuatan dijangka mengalami kekurangan atau tidak tersedia, selain peningkatan harga.

 

Beliau berkata konflik tersebut memberi kesan kepada sektor pembuatan dalam tiga aspek utama, iaitu gangguan logistik, peningkatan kos tenaga dan bahan, serta gangguan bekalan bahan.

 

“Bagi gangguan logistik, syarikat perlu mengubah laluan penghantaran dengan kos tambang yang jauh lebih tinggi, selain perlu membayar insurans premium serta caj penyimpanan pelabuhan yang lebih tinggi.

 

“Isu lain yang memberi kesan kepada rakyat ialah peningkatan kos tenaga dan bahan api. Sehubungan itu, FMM merayu kerajaan untuk mempertimbangkan peluasan subsidi diesel kepada sektor ini.

 

“Kesan ketiga ialah gangguan bekalan bahan, khususnya produk derivatif petrokimia seperti polyvinyl chloride, polypropylene, polyethylene dan resin plastik lain,” katanya dalam program ‘The Nation’ bertajuk ‘Kesan Konflik Asia Barat Terhadap Sektor Pembuatan Malaysia’, terbitan Bernama TV, hari ini.

 

Beliau berkata memandangkan kebanyakan industri di Malaysia terlibat dalam sektor pembuatan konvensional, mereka sangat sensitif terhadap peningkatan kos disebabkan margin keuntungan yang tipis, sekali gus memberi ancaman besar kepada kelestarian perniagaan.

 

Perkenalkan Langkah Intervensi

FMM berharap kerajaan dapat memperkenalkan langkah atau intervensi bagi membantu mengurangkan kenaikan kos supaya syarikat tidak perlu memindahkan terlalu banyak kenaikan kos kepada pengguna, yang seterusnya boleh mendorong inflasi.

 

Menurut Lee, sektor pembuatan Malaysia menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu sebanyak 23 peratus dan menyediakan pekerjaan kepada 2.3 juta orang.

 

“Kami (sektor pembuatan) mungkin pembayar cukai kedua terbesar di negara ini. Selain itu, 86 peratus daripada eksport Malaysia adalah barangan pembuatan. Saya juga ingin menekankan bahawa 44 peratus eksport datang daripada sektor elektrik dan elektronik, atau pembuatan teknologi termaju,” katanya.

 

Beliau turut berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI), yang menjadi petunjuk pengembangan atau penguncupan sektor pembuatan, menunjukkan sektor tersebut sedang pulih tetapi masih tidak stabil, dengan bacaan meningkat kepada 50.2 pada Januari sebelum menurun kepada 49.3 pada Februari.

 

Menurutnya, PMI merupakan indikator dengan ambang 50 – bacaan melebihi 50 menunjukkan pengembangan, manakala bacaan di bawah 50 menunjukkan penguncupan.

 

Pada masa ini, harga minyak kekal melebihi AS$100 setong. Pada jam 5.18 petang, minyak mentah Brent jatuh 1.54 peratus kepada AS$107.30 setong. – Bernama