KUALA LUMPUR 9 Jun - CIMB Investment Bank Bhd (CIMB Securities) masih mengekalkan saranan 'kurangkan' terhadap saham 7-Eleven Malaysia (SEM) dengan harga sasaran kekal RM1.63, walaupun syarikat dijangka terus mencatat pertumbuhan pendapatan dan membuka lebih banyak cawangan 7-Cafe.
CIMB Securities memaklumkan, SEM mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 10.4% tahun ke tahun pada suku pertama 2025.
Pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan jualan di kedai sedia ada sebanyak 7.1%, terutamanya disumbangkan perbandingan asas yang rendah tahun lalu akibat gangguan bekalan, waktu operasi lebih panjang dan naik taraf kedai biasa kepada konsep 7-Cafe.
"Bagaimanapun, keuntungan bersih hanya naik sedikit sebanyak 0.5% kerana kos operasi meningkat 10.2% akibat pelaksanaan gaji minimum mulai Februari 2025," katanya dalam satu nota kajian.
CIMB Securities menjangkakan prestasi 7-Eleven Malaysia akan lebih baik pada suku kedua 2025, disokong oleh peningkatan jualan selepas Ramadan dan pembukaan lebih banyak cawangan 7-Cafe.
Pada suku pertama tahun ini, SEM membuka 14 kedai baharu, termasuk 13 cawangan 7-Cafe, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 592 cawangan, iaitu hampir dua kali ganda berbanding 305 cawangan tahun lalu.
Syarikat masih menyasarkan untuk membuka 100 lagi cawangan 7-Cafe menjelang akhir 2025 dan dijangka mempercepat pembukaan dalam suku-suku akan datang.
CIMB Securities juga percaya, kos operasi yang tinggi pada suku pertama boleh dikurangkan melalui operasi yang lebih cekap dan peningkatan jualan produk makanan segar yang memberi keuntungan lebih tinggi.
Bagaimanapun, CIMB Securities berhati-hati kerana saham SEM kini diniagakan pada 33 kali anggaran pendapatan tahun 2026, lebih tinggi daripada purata 10 tahun lepas dan mengambil kira persaingan sengit serta tekanan kos yang semakin meningkat dalam industri kedai serbaneka.
Antara risiko yang boleh menjejaskan SEM adalah keuntungan yang berkurang kerana persaingan sengit dan kos yang tinggi.
"Namun, ada juga faktor positif seperti sumbangan lebih baik dari pengembangan 7-Cafe dan kawalan kos yang lebih baik," ujarnya.
Pendapatan SEM dijangka meningkat dari RM2.93 bilion pada 2024 kepada RM3.38 bilion pada 2027.
Keuntungan bersih pula dijangka naik dari RM56 juta kepada RM70 juta dalam tempoh yang sama.
Syarikat masih mempunyai tunai yang mencukupi, tetapi nisbah hutang bersih dijangka meningkat kepada 68.9% menjelang 2027.
Secara keseluruhan, CIMB Securities percaya SEM akan terus berkembang, tetapi mengingatkan pelabur supaya berhati-hati kerana penilaian saham yang tinggi dan cabaran persaingan pada masa hadapan. - DagangNews.com








