KUALA LUMPUR 29 Dis - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan sedang menyiasat 40 syarikat yang disyaki membayar rasuah kepada seorang pegawai kanan tentera, lapor The New Straits Times (NST) yang memetik sumber rapat kepada perkara itu.
NST yang memetik sumber berkata, SPRM telah menyoal sekurang-kurangnya lima pemilik syarikat berhubung perolehan Tentera Darat Malaysia yang dikaitkan dengan pegawai tersebut.
“Secara keseluruhan, SPRM telah merakamkan keterangan daripada 10 individu,” kata sumber itu yang enggan dikenali sambil menambah, siasatan ke atas 40 syarikat berkenaan dijalankan secara berperingkat.
Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM.
“Hari ini, pegawai SPRM telah menyerbu beberapa syarikat yang dipercayai terlibat bagi mendapatkan dokumen dan bukti lain,” katanya.
Kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM boleh dihukum denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pada Sabtu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, telah diarahkan bercuti susulan siasatan oleh pihak berkuasa terhadap dakwaan yang dikaitkan dengan beliau.
Walaupun kenyataan itu tidak memperincikan bentuk siasatan, ia menyusuli laporan SPRM sedang mempergiat siasatan terhadap perolehan ketenteraan.
Siasatan tersebut bermula pada 23 Disember selepas satu laporan dibuat oleh aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard.
Badrul, yang juga Ketua Bersatu Port Dickson, mendakwa aliran masuk tunai dalam jumlah besar telah dikesan dalam akaun bank seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya, yang didakwa berpunca daripada syarikat-syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.
Sementara itu dalam perkembangan sama, SPRM dilaporkan telah menjalankan serbuan di pejabat dan kediaman rasmi seorang pegawai kanan Tentera Darat sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan berkaitan dakwaan rasuah dalam projek perolehan Tentera Darat.
Sebanyak enam akaun bank milik pegawai berkenaan dan ahli keluarganya telah dibekukan ketika penyiasat terus meneliti transaksi kewangan yang dikaitkan dengan kes tersebut.
Operasi yang dijalankan pada Sabtu itu bermula kira-kira jam 5 petang dan berlarutan sehingga melepasi tengah malam.
“Walaupun tiada wang tunai dirampas, penyiasat telah menyita barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti rasuah yang didakwa,” kata satu sumber kepada NST.
Sumber itu menambah, “Pegawai berkenaan dijadualkan untuk memberi keterangan kepada SPRM pada Ahad, namun beliau dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi. Penyiasat masih belum merakamkan keterangannya.”
Walaupun berdepan perkembangan tersebut, SPRM tetap meneruskan siasatan dengan memanggil saksi-saksi utama, termasuk kontraktor yang dikaitkan dengan projek perolehan Tentera Darat.
Setakat ini, lima pemilik syarikat telah memberi keterangan, manakala keseluruhan 10 saksi dijangka akan membantu siasatan.
Pada Selasa lalu, pegawai SPRM turut mengunjungi Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi meneliti projek perolehan Tentera Darat yang dilaksanakan melalui tender terbuka dan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat. - DagangNews.com








