4 projek pusat data bernilai RM10 bilion dianggar jadi pemacu utama sektor pembinaan, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

4 projek pusat data bernilai RM10 bilion dianggar jadi pemacu utama sektor pembinaan, kata Maybank IB

Gambar hiasan dari Freepik
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Julai — Sebanyak empat projek pembinaan pusat data baharu dengan keseluruhannya bernilai RM10 bilion dianggar menjadi pemacu sektor pembinaan, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kesemua tender berkenaan dijangka ditawarkan tiga pemaju yang berbeza dalam tempoh dua bulan akan datang dengan jumlah kapasiti tenaga 500 MegaWatt (MW).

 

Tambahnya, kesemua pusat data itu diramal tiada masalah untuk diteruskan walaupun ada kebimbangan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengehadkan penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) ke Malaysia.

 

"Negara berkenaan diyakini kemungkinan tidak melakukan sekatan tersebut kerana projek itu disokong oleh sebuah gergasi enjin carian terkenal dari AS sendiri," kata Maybank IB dalam satu nota kajiannya.

 

Tambahnya, kesemua projek pusat data tersebut diunjur akan diberikan kepada satu atau dua syarikat sahaja dengan beberapa nama sudah disenaraikan bakal memenangi kontrak pembinaan fasiliti itu.

 

Setahun selepas kerja berkenaan dimulakan, firma itu meramalkan MN Holdings Berhad berada pada kedudukan terbaik memperoleh tender kerja-kerja sistem mekanikal, elektrikal dan perpaipan.

 

Projek pembinaan pusat data itu kata Maybank IB, setelah disiapkan akan dipajakkan kepada Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd yang bekerjasama dengan gergasi teknologi global, Google dari AS.

 

"Dengan mengandaikan 10 peratus margin keuntungan sebelum cukai, kami menganggarkan terdapat RM1.0 bilion keuntungan sebelum cukai yang akan dijana untuk industri pembinaan," tambah firma tersebut.

 

Berdasarkan perkembangan positif itu, ia mengekalkan penarafan 'positif' ke atas sektor pembinaan dan Gamuda Berhad menjadi pilihan dengan saranan 'beli' dan harga sasaran RM5.37 sesaham. - DagangNews.com