KUALA LUMPUR 21 Jan – Sebanyak 3,604 kenderaan berat dikenakan tindakan kerana membawa muatan berlebihan sepanjang tempoh Oktober hingga Disember tahun lalu, hasil operasi penguatkuasaan khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, operasi yang dijalankan dari 14 Oktober hingga 31 Disember itu mendedahkan tahap ketidakpatuhan yang masih tinggi dalam kalangan pengendali kenderaan berat, sekali gus memberi implikasi terhadap keselamatan jalan raya dan ketahanan infrastruktur negara.
Bagi kenderaan berat dengan had muatan di bawah 7.5 tan, sebanyak 527 kenderaan didapati membawa muatan berlebihan melebihi 70%, manakala 549 kenderaan melebihi had antara 35% hingga 70%. Sejumlah 655 kenderaan pula mencatatkan lebihan muatan antara 10% hingga 35%.
Sementara itu, bagi kenderaan yang dibenarkan membawa muatan antara 7.5 tan hingga 32 tan, 152 kenderaan dikesan melebihi had lebih 50%, diikuti 125 kenderaan antara 35% hingga 50%, serta 916 kenderaan antara 10% hingga 35%.
Bagi kategori kenderaan berat dengan had muatan melebihi 32 tan, 40 kenderaan didapati membawa muatan berlebihan lebih 50%, 167 kenderaan antara 25% hingga 50%, dan 473 kenderaan antara 10% hingga 25%.
"Statistik tersebut menunjukkan berlaku pelanggaran kesalahan membabitkan lebih muatan yang serius, yang berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya, kestabilan kenderaan, prestasi sistem brek, serta ketahanan jalan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) di Dewan Rakyat mengenai tahap penguatkuasaan dan kadar lebihan muatan dalam operasi JPJ bagi suku terakhir 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, Loke memaklumkan bahawa data Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menunjukkan penurunan kemalangan maut melibatkan kenderaan berat.
Rekod polis menunjukkan 232 kemalangan maut pada 2023, meningkat kepada 260 pada 2024, sebelum menurun ketara kepada 163 kes tahun lalu. Bagaimanapun, beliau menegaskan angka tersebut merujuk kepada kemalangan yang melibatkan kenderaan berat dan tidak semestinya menunjukkan kesalahan pihak berkenaan.
“Penurunan ini memberi isyarat positif bahawa usaha penguatkuasaan yang berterusan mampu menyokong matlamat kerajaan dalam meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya.
Dari sudut infrastruktur dan teknologi, Loke turut mengumumkan sistem High Speed-Weigh in Motion (HS-WIM) akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan 10 lokasi strategik telah dikenal pasti. Setakat ini, sistem berkenaan telah dipasang di dua lokasi dan akan disusuli dengan tempoh peralihan sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan.
Langkah ini dijangka memberi kesan positif kepada industri logistik dan pengangkutan darat dengan meningkatkan pematuhan peraturan, mengurangkan kos penyelenggaraan jalan serta menyokong kelestarian operasi rantaian bekalan negara. - DagangNews.com








