31,517 kes bankrap sejak 2021, hampir 50% berpunca daripada kegagalan bayar pinjaman peribadi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

31,517 kes bankrap sejak 2021, hampir 50% berpunca daripada kegagalan bayar pinjaman peribadi

KUALA LUMPUR 23 April - Malaysia merekodkan sebanyak 31,517 kes kebankrapan dari 2021 hingga Mac 2026, dengan hampir separuh daripadanya berpunca daripada pinjaman peribadi.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, data rasmi menunjukkan sebanyak 14,582 kes atau 46% dikategorikan sebagai kebankrapan akibat tekanan hutang peribadi.

 

Beliau berkata, sebanyak 4,704 kes atau 15% daripada jumlah keseluruhan melibatkan individu berusia 34 tahun ke bawah.

 

 

 

 

 

 

“Data ini menunjukkan betapa pentingnya kesedaran mengenai pengurusan kewangan dan celik kewangan sejak peringkat awal, khususnya dalam kalangan keluarga muda bagi merancang komitmen kewangan mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Dasar Peluang Kedua: Pelepasan Pantas yang dianjurkan Jabatan Insolvensi Malaysia di Institut Pendidikan Guru Temenggong Ibrahim di Johor Bahru, hari ini.

 

Peluang Kedua Rakyat

Mengulas dasar berkenaan, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan kini memberi tumpuan untuk menyediakan “peluang kedua” kepada empat kumpulan sasaran iaitu ibu atau bapa tunggal, pengusaha mikro, mangsa penipuan kewangan dan mangsa projek perumahan terbengkalai.

 

“Dasar ini membolehkan mereka yang terkesan memulakan semula kehidupan serta menyusun kembali kewangan mereka.

 

"Sebagai contoh, ada individu menjadi bankrap bukan semata-mata disebabkan pengurusan kewangan yang lemah, tetapi akibat nasib malang seperti membeli rumah yang tidak siap namun masih perlu menanggung beban hutang,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

Menurut beliau, kerajaan turut menambah baik syarat pelepasan kebankrapan dengan menaikkan ambang hutang daripada RM50,000 kepada RM200,000 bagi memberi peluang lebih besar kepada individu terjejas keluar daripada status bankrap.

 

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, kadar inflasi bagi suku pertama 2026 berada pada paras 1.6%.

 

Beliau menambah, bagi Mac lalu, inflasi meningkat sedikit kepada 1.7% berbanding 1.4% pada Februari, didorong terutamanya oleh sektor pengangkutan dan kos bahan api. - Bernama