Telco 'gergasi' kemungkinan dapat ekuiti lebih besar dalam DNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Telco 'gergasi' kemungkinan dapat ekuiti lebih besar dalam DNB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Julai - Firma-firma penyelidikan menaikkan penarafan sektor telekomunikasi (telco) kepada 'overweight' memandangkan syarikat telco dan pelabur 'cenderung' memilih model rangkaian borong tunggal (SWN) dalam pelaksanaan 5G.

 

CGS-CIMB Research menyemak naik penarafan sektor daripada 'underweight' sebelum ini memandangkan potensi daripada pendapatan yuran borong 5G telah diambil kira dalam harga saham syarikat telco. 

 

Firma itu mendapati setakat ini, harga saham syarikat telco telah merosot pada purata 17% ekoran ketidaktentuan pelaksanaan 5G.

 

"Kami berpendapat, situasi yang lebih jelas mengenai 5G mungkin dapat dilihat pada awal Julai dan boleh menjadi pemangkin kepada penarafan semula.

 

"Walaupun telco perlu mendaftar untuk terma borong semasa DNB, ia masih membantu memberikan kepastian dan menghilangkan kebimbangan terhadap senario yang kemungkinan lebih buruk, manakala hasil yang lebih baik boleh membawa kepada peningkatan yang lebih ketara," katanya dalam nota kajian. 

 

Minggu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan enam syarikat telekomunikasi (telco) akan mengambil kepentingan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) bagi pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini.

 

Pengumuman rasmi mengenai pemilikan kepentingan itu akan dibuat pada 8 Julai setelah rundingan berjalan dengan baik dan mencapai kesepakatan.

 

Pada Mac lalu, kerajaan membuka 70 peratus peluang kepada semua penyedia perkhidmatan komunikasi untuk memiliki kepentingan ekuiti di dalam DNB.

 

Laporan media yang memetik sumber industri sebelum ini mendedahkan bahawa kertas terma tidak mengikat telah dipersetujui oleh enam telco berkenaan sebelum tarikh akhir, bersama dengan perjanjian pemegang saham untuk mengambil pegangan dalam DNB, yang dijangka ditandatangani awal bulan depan.

 

 

telco

 

 

Sejajar dengan semakan semula penarafan sektor telekomunikasi itu, CGS-CIMB turut menaikkan penarafan Maxis Bhd. kepada 'tambah' daripada 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM3.60 sesaham. 

 

Firma itu bagaimanapun mengulangi saranan 'tambah' terhadap Telekom Malaysia Bhd. (TM) dengan TP pada RM6.75, dengan unjuran hasil tidak berubah sementara menantikan penjelasan selanjutnya mengenai pelaksanaan 5G.  

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, tarikh akhir penyertaan ekuiti telco dalam DNB semakin hampir dan ia berpandangan bahawa mereka akan menerimanya kerana tidak mampu untuk mengetepikan evolusi besar seterusnya dalam ekonomi berasaskan digital yang dipacu oleh teknologi 5G dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

 

"Namun, persoalan yang perlu dijawab adalah kuantum penyertaan ekuiti telco besar (Celcom, Digi, Maxis dan Umobile) dalam DNB, syarikat induk untuk SWN.

 

"Kami tidak menolak kemungkinan, telco besar akan diberikan penyertaan ekuiti yang lebih besar dalam DNB sebagai pertukaran untuk sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi untuk model SWN," jelasnya.

 

Menurutnya, walaupun kebimbangan telah dibangkitkan mengenai caj kapasiti tetap borong DNB untuk menyokong keperluan penjanaan bonnya, tetapi ia tidak menjangkakan peningkatan ketara dalam jumlah perbelanjaan syarikat telco kepada DNB.

 

"Oleh itu kos, struktur pembiayaan dan garis masa mungkin akan disemak oleh pelabur baharu (pengendali rangkaian mudah alih-MNO) yang boleh mempengaruhi mekanisme harga, strategi perolehan dan pengurusan kos DNB, yang memberi manfaat kepada MNO dalam jangka masa panjang," tambahnya.

 

Pada masa sama, Kenanga Research juga percaya komitmen telco kepada penyertaan ekuiti DNB berkemungkinan boleh meningkatkan penarafan kredit DNB dalam pelaksanaan penjanaan bonnya.

 

"Ini juga merupakan satu kemenangan untuk kepentingan negara kerana ia mempercepatkan kemajuan IR 4.0 Malaysia, dirangsang oleh kelajuan mudah alih yang cekap pada tarif berpatutan," katanya.

 

Firma itu menyemak naik penarafan sektor itu daripada 'neutral' kerana berpendapat ketidaktentuan persekitaran yang membelenggu pelancaran 5G telah diambil kira oleh pasaran.

 

Bagaimanapun, ia menyemak turun TP semua telco di bawah liputannya dengan Axiata Group Bhd. pada RM3.45, Digi (RM3.70), Maxis (RM3.90), OCK (45 sen) dan TM (RM6.70) dengan masing-masing kekal 'outperform'. - DagangNews.com