Takaful Malaysia lancar program Di Hatiku Student Food Aid sedia makanan berkhasiat kepada 1,000 pelajar asnaf | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Takaful Malaysia lancar program Di Hatiku Student Food Aid sedia makanan berkhasiat kepada 1,000 pelajar asnaf

Nor Azman Zainal (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli (kiri) menyantuni pelajar SK Seri Bonus pada majlis Di Hatiku Student Food Aid Program di Kuala Lumpur.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) menyediakan makanan harian berkhasiat kepada 1,000 pelajar asnaf di 10 buah sekolah rendah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini dikenali sebagai program Di Hatiku Student Food Aid, yang dijadualkan berlangsung sehingga Februari 2024 bagi tahun akademik sekolah 2023/2024.

 

Takaful Malaysia dalam satu kenyataan media hari ini berkata, program berkenaan selaras dengan agenda CSR dan kemampanan syarikat dalam pembangunan bangsa, serta meningkatkan kesihatan, keadaan fizikal dan pemakanan pelajar yang kurang bernasib baik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata program bantuan makanan tersebut adalah bagi memenuhi tanggungjawab syarikat sebagai sebuah institusi kewangan Islam dalam mengagihkan zakat kepada penerima asnaf berkelayakan.

 

“Sebagai menyokong usaha kerajaan, kami berhasrat untuk mencipta nilai mampan dalam komuniti setempat melalui program ini dengan menyediakan makanan berkhasiat setiap hari dan menambah baik pengambilan makanan seimbang dalam kalangan pelajar yang kurang bernasib baik.

 

“Tanggungjawab dan komitmen kami adalah untuk membantu kerajaan menangani masalah pemakanan tidak seimbang dengan memperkasakan kanak-kanak dengan makanan sihat. Ini juga selaras dengan semangat takaful iaitu membantu satu sama lain terutama golongan yang memerlukan,” ujar beliau.

 

 

Nor Azman Zainal (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli (dua dari kanan); Penolong Pengarah Unit Kebajikan dan Pengurusan Kesihatan Pelajar, Sektor Hal Ehwal Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Hairunizad Haron (kanan) dan guru besar SK Seri Bonus, Malihan (kiri) di majlis Di Hatiku Student Food Aid Program di Kuala Lumpur.
Nor Azman Zainal (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli (dua dari kanan); Penolong Pengarah Unit Kebajikan dan Pengurusan Kesihatan Pelajar, Sektor Hal Ehwal Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, Hairunizad Haron (kanan) dan guru besar SK Seri Bonus, Malihan (kiri) di majlis Di Hatiku Student Food Aid Program di Kuala Lumpur.

 

 

Nor Azman berkata kesedaran terhadap kepentingan pelajar asnaf mendapatkan akses makanan seimbang di sekolah menarik perhatian syarikat itu untuk memulakan usaha tersebut dan menghulurkan bantuan

 

Oleh itu, katanya, Takaful Malaysia bekerjasama rapat dengan KPM, pentadbir sekolah terpilih dan pengusaha kantin bagi mengurus dan melaksanakan program bantuan makanan dengan baik.

 

Menurut beliau, setiap pelajar asnaf terpilih dibekalkan dengan set kotak makan tengah hari lengkap dengan pemilihan menu harian berdasarkan piramid makanan untuk kanak-kanak, yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan dan sumber protein, termasuk botol air untuk menggalakkan mereka minum lebih banyak air dan kekal terhidrat.

 

“Program Di Hatiku Student Food Aid Takaful Malaysia menyokong matlamat pembangunan mampan bagi mengatasi isu pemakanan tidak seimbang dan memastikan akses tetap makanan berkhasiat dan mencukupi, terutamanya kepada asnaf dan kanak-kanak kurang bernasib baik, memupuk pertumbuhan dan perkembangan normal serta kehidupan yang sihat.

 

“Kami gembira program bantuan makanan ini mendapat sambutan positif dan memberangsangkan, serta berharap akan terus memberi manfaat kepada pelajar asnaf,” kata Nor Azman. - DagangNews.com