KUALA LUMPUR 11 Sept - Lembaga Tabung Haji (TH) telah melancarkan TH Khairat, iaitu perlindungan takaful sebanyak RM12,000 kepada penerima manfaat sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal ke atas pendepositnya dengan langganan tahunan serendah RM28 sahaja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata inisiatif ini adalah salah satu komitmen dan langkah proaktif Tabung Haji untuk meringankan beban kewangan pendeposit selain menggalakkan umat Islam untuk menabung dan membuat persediaan kewangan agar urusan waris sewaktu dan selepas kematian dapat diuruskan dengan baik.
“Saya berharap usaha seperti ini akan mendapat sambutan dan sokongan ramai kerana menerusi TH Khairat ini, kebajikan dan kesejahteraan pendeposit terus terpelihara kerana bantuan kewangan di masa sukar akan diberi apabila berlaku kematian kepada mereka,” kata beliau di majlis pelancaran TH Khairat di Bangunan Tabung Haji di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman berkata TH Khairat ini bukan sahaja memberi peluang kepada pendeposit Tabung Haji untuk memiliki perlindungan, malah mereka juga dapat memberi sumbangan infaq.
“Mereka juga dapat memberi sumbangan infaq berjumlah RM2,000 (sebahagian daripada jumlah perlindungan TH Khairat) kepada pertubuhan atau organisasi kebajikan yang dilantik oleh pengendali takaful,” jelas beliau.

TH Khairat ini terbuka kepada semua pendeposit berumur seawal 30 hari sehingga 65 tahun dan mereka yang ditaja jamin oleh Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT).
Bayaran RM28 adalah secara potongan terus daripada akaun Tabung Haji secara tahunan dan pendaftaran boleh dilakukan dengan mudah sahaja melalui portal atau aplikasi THiJARI.
Seramai 200 penghantar makanan juga turut menghadiri acara pelancaran tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai TH Khairat ini bagi kepentingan perlindungan kepada mereka dan keluarganya.
Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan ini boleh dilayari di laman web www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.








