TA Securities ‘potong’ unjuran pendapatan Beshom Holdings bagi FY23-25 kesan kelemahan bahagian MLM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities ‘potong’ unjuran pendapatan Beshom Holdings bagi FY23-25 kesan kelemahan bahagian MLM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Kelemahan bahagian pemasaran pelbagai peringkat (MLM) terus mengheret keuntungan Beshom Holdings Bhd, kata TA Securites.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos pemasaran yang tinggi gagal memulihkan perbelanjaan berikutan kuasa membeli terus lemah didorong oleh tekanan inflasi.

 

Ini juga telah menyebabkan pendapatan kumpulan itu dalam sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) sebanyak RM12 juta berada di bawah jangkaan firma pada 41% dan konsensus 46%.

 

Susulan kelemahan bahagian MLM, pendapatan dan keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan masing-masing merosot 17.7% dan 43.2% tahun ke tahun (YoY) kepada RM135.2 juta dan RM17.5 juta.

 

“Kami mengurangkan ramalan pendapatan kami untuk FY23, FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 40%, 32.4% dan 24.7%, meramalkan daya pengedar yang lebih rendah untuk bahagian MLM,” katanya dalam nota penyelidikan hari ni.

 

Menurut firma itu, bahagian MLM akan terus menghadapi prospek mencabar berikutan tekanan inflasi dan jangkaan peningkatan dalam kos pinjaman.

 

“Memandangkan Beshom terus meningkatkan insentif pengedarnya, kami menjangkakan pemulihan beransur-ansur dalam jualan segmen itu pada suku-suku mendatang,” katanya.

 

Tambahnya, keuntungan keseluruhan tidak mungkin bertambah baik sehingga pemulihan yang ketara dalam bahagian MLM kerana segmen itu biasanya menyumbang kepada lebih separuh daripada EBITnya.

 

Di samping itu, firma itu menjangkakan pertumbuhan jualan suku ke suku (QoQ) akan berterusan dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) apabila pangkalan pelanggan yang meluas dimanfaatkan dengan memasuki saluran perdagangan moden dan kedai rangkaian farmasi.

 

Selain itu, jualan bahagian runcit dijangka kembali normal pada 4QFY23 berikutan peningkatan jualan pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) disokong oleh jualan Tahun Baharu Cina.

 

“Kami menjangkakan pemampatan margin untuk segmen daripada peningkatan perbelanjaan operasi yang terdiri daripada kenaikan tarif elektrik dan waktu kerja maksimum,” tambahnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.11 sesaham daripada RM1.28 berdasarkan 11x pendapatan sesaham (EPS) tahun 2024. -DagangNews.com