KUALA LUMPUR 13 Sept - TA Securities positif terhadap tender tanah yang diraih oleh Sunway Berhad di Singapura untuk membangunkan projek pembangunan perumahan kondominium eksekutif (EC) bernilai RM1.2 bilion (S$348.5 juta).
Usaha sama anak syarikat Sunway Developments Pte Ltd dan Hoi Hup Realty Pte Ltd dilaporkan telah memperoleh tanah di Tengah E2, Plantation Close yang terletak berdekatan Jurong West dan Choa Chu Kang daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan Singapura bagi tempoh pajakan 99 tahun.
Projek yang akan dibina di atas tanah berkeluasan 16,441 meter persegi itu telah dimulakan pada 11 September dan dijangka siap dalam tempoh 60 bulan atau lima tahun, yang akan dilancarkan secara rasmi pada awal 2025.
“Kami positif tentang perkembangan ini, mewakili penambahan tepat pada masanya kepada portfolio tanah Sunway di Singapura. Ini berlaku selepas pelancaran dua projek tahun ini, Terra Hill (kondominium persendirian, kadar pengambilan 36%) dan The Continuum (kondominium persendirian, kadar pengambilan 27%),” kata TA Securities dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu berkata bidaan Hoi Hup-Sunway bagi tanah tersebut adalah lebih kurang 6% lebih tinggi daripada S$662 setiap kaki persegi setiap nisbah plot (psf ppr) yang dibayar untuk tapak EC di Bukit Batok West Ave 8.
Tambahnya, kadar tanah hampir 17% lebih tinggi daripada tapak pertama EC, Copen Grand, terletak di sepanjang Tengah Garden Walk, dianugerahkan kepada City Developments Limited dan MCL Land pada Jun 2021 untuk S$400.3 juta (S$603 psf ppr).
“Kami percaya harga premium mencerminkan keyakinan Sunway dan Hoi Hup dalam pasaran EC. Pasaran EC telah menunjukkan permintaan yang teguh, seperti dibuktikan oleh penjualan penuh Copen Grand dalam tempoh sebulan selepas pelancaran dalam Oktober 2022, pada harga purata kira-kira S$1,340 setiap kaki persegi.
“Memandangkan tambahan duti setem pembeli untuk pembelian hartanah kedua meningkat baru-baru ini, EC berkemungkinan akan menarik lebih banyak minat kerana faedah remisi pendahuluan mereka,” tambahnya.
Dengan mengandaikan nisbah kos tanah kepada GDV sebanyak 50% hingga 60%, TA Securities menganggarkan harga pelancaran untuk projek EC di Tengah Plantation Close antara S$1,200 dan S$1,400 setiap kaki persegi, sejajar dengan pelancaran EC baru-baru ini.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan Sunway bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sementara menunggu butiran lanjut mengenai cadangan pembangunan tersebut.
Justeru, saranan ‘beli’ dikekalkan dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.40 sesaham.
Pada pukul 10:21 pagi ini, saham Sunway telah menokok 4 sen atau 2.1% kepada RM1.96 dengan permodalan pasarannya bernilai RM9.8 bilion. - DagangNews.com








